‘Alamak…Tersalah Rumah Rupanya’- Andi Bernadee Kongsi Pengalaman Lucu Beraya

Oleh : Zaara Talita

Setiap insan pastinya mempunyai kenangan yang tidak dapat dilupakan setiap kali menjelang perayaan Aidilfitri.

Bagi penyanyi Andi Bernadee, dia pernah berhadapan dengan insiden di kampung halaman yang masih segar di benaknya. 

“Banyak sebenarnya kenangan yang tidak dapat dilupakan, namun yang paling teringat sehingga ke hari ini adalah kami sekeluarga beraya di rumah yang salah. Perancangan asalnya, saya ingin berkunjung di rumah salah seorang rakan untuk beraya, namun tersalah simpang.

“Saya dan keluarga sudah selesai makan namun tuan rumah yang dikenali masih tidak kelihatan. Apabila hendak pulang ketika bersalaman, baharu kami menyedari tersalah rumah rupanya.

“Terbahak-bahak kami sepanjang perjalanan pulang kerana tidak sangka kami beraya di rumah yang tidak dikenali. Malah, sehingga sekeluarga kenyang menjamah hidangan yanh disediakan. Sehingga ke hari ini, pengalaman itu masih segar di memori kami sekeluarga,” katanya.

Berkongsi mengenai sambutan Aidilfitri pada tahun ini, Andi sudah mula bercuti untuk pulang ke kampung halamannya di Sabah.

“Saya bercuti beraya selama 10 hari, kemudian pulang semula ke semenanjung untuk bekerja. Kesempatan ini digunakan untuk meluangkan masa bersama keluarga tercinta kerana saya jarang pulang demi mencari rezeki.

“Tiada kelainan sebenarnya kerana rutin beraya sama seperti tahun sebelumnya. Cuma tahun ini tempoh bercuti lebih pendek daripada tahun sebelumnya kerana tuntutan kerja. ,” kongsi Andi.

Andi yang mendapat perhatian apabila menyanyikan lagu parodi Tak Tun Tuang itu sedang mengumpul material single baharu untuk dipertaruhkan di Anugerah Juara Lagu.

SGMS Faida