Anak Che Ta Jalani Pembedahan Kerana Masalah Kelainan Gigi

Aktres dan usahawan, Rozita Che Wan tampil berkongsi anak bongsunya, Aaisyah Dhia Rana selamat menjalani pembedahan Supernumerary Mesiodens Tooth kerana kelainan pada gigi, semalam.

Perkara tersebut juga telah dikongsikan oleh Rozita menerusi sebuah hantaran di TikTok.

Menurut Rozita atau Che Ta, prosedur membuang lebihan gigi pada bahagian tengah yang dikatakan kes jarang berlaku itu memerlukan Aaisyah banyak berehat sebelum dibenarkan pulang.

“Memang sejak beberapa bulan lalu, dia kerap mengadu mengenai rasa tidak selesa yang didakwa pada bahagian giginya.

“Selepas pemeriksaan pakar di Global Doctors di Mont Kiara, doktor mengenalpasti kewujudan gigi lebih di bahagian tengah.

“Menurut doktor, kes seumpama ini agak jarang terjadi iaitu secara puratanya di dunia ini ada sekitar 0.5 hingga 3 peratus saja kes seumpama itu.

“Jadi saya dan suami ambil keputusan untuk anak kami itu melakukan pembedahan supaya dia dapat kembali menjalani hidup selesa tanpa masalah sama lagi,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon itu juga menyatakan pembedahan itu juga perlu dilakukan bagi membolehkan pertumbuhan gigi kekal yang baharu.

“Masa melakukan CT Scan (Imbasan CT) baru-baru ini, baharu nampak keadaan sebenar selepas selama ini kita kurang pasti tentang masalah dilalui Aaisyah,” katanya lagi.

Memetik laporan Kosmo! Online, Che Ta juga sempat meluahkan rasa bersyukur kerana proses pembedahan tersebut berjalan lancar di samping memiliki seorang puteri yang kuat semangat.

“Alhamdulilah segala-galanya dipermudahkan. Terima kasih kepada yang bertanya khabar serta mesej termasuk peminat dan rakan artis yang tak sempat dibalas.

“Terima kasih atas doa yang tak putus-putus. Semoga doa yang baik-baik ini berbalik kepada anda semua,” luah isteri kepada pelakon, Zain Saidin itu.

Sumber: Kosmo! Online

Fatin Nurain