Ashraf Muslim Trauma Kes Covid-19 Meningkat, Harap Kerajaan Buat Keputusan Tepat – “Ayah Aku Meninggal Dunia Disebabkan Covid-19”

Pelakon Ashraf Muslim meluahkan kerisauan mengenai isu kedatangan pelancong China ke negara ini.

Menerusi perkongsian di Instagram, Ashraf berkongsi ceritanya yang pernah dijangkiti Covid-19. Malah, ayahnya juga terkorban gara-gara wabak tersebut.

“Belajar dari pengalaman yang lepas. Kalau kita tak bendung dari awal, InsyaAllah negara kita pun akan jadi macam dalam video ni.

“Aku pernah duduk dalam hospital 39 hari sebab covid, ayah aku meninggal dunia disebabkan covid dan kesan covid bukan sahaja pada fizikal malah ekonomi pun terkesan sampai sekarang,” kongsi Ashraf.

Tambah Ashraf, dia berharap pihak kerajaan mengambil tindakan yang tepat dan meminta mengambil nasihat dan Sunnah Nabi bagi menangani isu kesihatan tersebut.

“Sedar-sedarlah, kepada pihak atasan tolong buat keputusan dengan tepat.

“Ambil nasihat dan Sunnah Nabi bila berlakunya penyakit yang berjangkit apa yang dilakukan oleh Nabi dan sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ashraf mengakui dia trauma dengan wabak itu dan mendoakan ahli keluarga dan sahabatnya dilindungi.

“Ini luahan hati saya yang sangat risau dan stress serta mungkin trauma dengan apa yang berlaku sebelum ini, saya mengharap ahli keluarga dan sahabat-sahabat saya jauh dari penyakit atau virus yang berjangkit ini,” harapnya.

Minggu lalu, China dilaporkan akan membuka semula sempadannya pada 8 Januari ini, selepas hampir tiga tahun ditutup susulan pandemik Covid-19.

Terbaharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan memperketatkan kawalan sedia ada seperti penggunaan pengimbas suhu terhadap pendatang asing di pusat Imigresen khususnya daripada negara yang berisiko tinggi berlaku jangkitan wabak, pada Rabu.

Khairil Khusyairi