Awal Ashaari Tak Paksa Scha Alyahya Pakai Tudung – “Itu Keputusan Dia, Biar Dia Berubah Bukan Dengan Paksaan”

Pelakon dan pengacara, Awal Ashaari mengaku isterinya, Scha Alyahya lebih manis jika mengenakan tudung, namun itu bukanlah alasan untuknya memaksa Scha berhijrah secara drastik.

Menurut pemilik nama lengkap, Ahmad Awaluddin Ashaari, 41, sebagai suami dia mahu melihat isterinya itu berubah ke arah kebaikan tetapi bukan secara paksaan.

Dan, perkara ini harus datang dari dalam diri Scha sendiri memandangkan matlamat utamanya adalah untuk memperbaiki hubungan dengan Allah.

“Sebagai suami mestilah saya mahu isteri menuju ke arah kebaikan dan tidak mahu sebarang perubahan dilakukan dengan cara paksaan.

“Perkara seperti ini perlu datang dari dalam dan apa paling penting kami mahu perbaiki hubungan dengan Allah.

“Tidak dinafikan apabila Scha memakai tudung kelihatan lebih manis dan ayu. Sebagai suami saya hanya mendoakan yang terbaik,” katanya.

 

Dalam pada itu, Awal memaklumkan, penghijrahan bukan sesuatu yang mudah apatah lagi sebelum ini Scha ada menerima banyak tawaran untuk menjadi model bertudung, namun terpaksa menolak kerana belum bersedia.

“Saya rasa ini merupakan perubahan besar bagi dia dan selalu juga saya usik sama ada dia ke arah penghijrahan.

“Dia tidak menidakkan dan mengiyakan cuma nampak lebih selesa memakai tudung.

“Jika dia buat keputusan untuk bertudung suatu hari nanti, mengapa tidak.

“Benda ini keputusan yang besar dan perlu beristiqamah,” jelasnya.

Meskipun begitu, selepas mengerjakan umrah pada 11 Februari lalu, Awal mendedahkan isterinya itu semakin terbuka untuk menerima tawaran menjadi model berhijab.

“Sebelum ini banyak jenama yang menghampiri Scha untuk menjadi model bertudung tetapi dia belum bersedia.

“Namun, selepas balik umrah dia jadi lebih terbuka dan menerima kerja begitu,”ujarnya.

Terdahulu, Scha Alyahya dilihat sering tampil dengan imej bertudung apabila terikat dengan komitmen sebagai model beberapa jenama pakaian lokal.

 

Sumber : Kosmo

Salma Syahbuddin