Babak Tak Senonoh Dalam Drama, Pensyarah Ini Beri Teguran – “Jangan Normalisasikan Dosa Berzina”

Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Ahmad Sanusi Azmi tampil memberi peringatan kepada penggiat seni agar tidak menormalisasikan sebarang bentuk zina dalam sesebuah karya.

Menerusi tulisan di Facebook, Dr Sanusi akui bimbang apabila dosa berzina dalam berkarya itu menjadi tontonan umum kepada masyarakat.

“Jangan normalisasikan dosa berzina.

“Adalah menjadi satu kebimbangan apabila unsur perbuatan terkutuk yang dilarang oleh Allah dijadikan lakonan bagi sebuah drama yang menjadi tontonan masyarakat.

“Lebih menyedihkan, lakonan sebegini melibatkan warga Muslim sendiri sedangkan Allah secara jelas mengutuk perlakuan ini. Kempen menjauhi zina ini sangat tegas di dalam al-Quran. Allah memerintahkan kita menjauhinya,” tulisnya.

Dalam pada itu, Dr Ahmad Sanusi juga mempersoalkan mengapa perlu melakonkan babak sebegitu sedangkan ia jelas satu perbuatan yang buruk.

“Andai sekiranya Allah menyifatkan perbuatan terkutuk ini sebagai perbuatan yang keji dan buruk, maka mengapa perlu kita melakonkan perbuatan tersebut yang secara tidak langsung menjadi medium promosi dan normalisasi perlakuan mungkar.

“Bukan sekadar dikeji oleh Allah, kempen menjauhi zina ini diperkasa melalui bimbingan Rasulullah. Rasulullah mendidik sahabat supaya menjauhi segala perlakuan yang boleh membawa kepada zina.

“Bahkan Rasulullah menegaskan bahawa fenomena zina akan membawa kepada kebinasaan,” coretnya.

Dalam masa sama, Dr Ahmad Sanusi turut berpesan agar tidak mengguna pakai elemen terkutuk tersebut demi mempromosikan karya.

“Jangan semata-mata kerana ingin melariskan produk kita, elemen keji dimasukkan sehingga ia menjadi normal dalam kalangan masyarakat. Jauhi zina.

“Semoga Allah membimbing kita,” tutupnya.

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila tular sepotong rakaman video yang memaparkan babak ghairah dalam sebuah drama yang dilakonkan pelakon Amir Ahnaf.

Babak tersebut memaparkan seorang wanita tiba-tiba muncul di bawah meja Amir seolah-olah telah berlaku satu perbuatan yang terkutuk.

Ditambah pula skrip yang dilontarkan pelakon wanita tersebut yang jelas menunjukkan ia satu perbuatan buruk.

“Wow! Awak lelaki pertama yang boleh kekal tenang apabila saya buat ‘kerja’,” kata wanita itu dan Amir seterusnya bangun dari kerusi sebelum membetulkan seluar dengan wajah yang ‘puas’.

Khairil Khusyairi