#BabyXTRA: Fasha Sandha Kongsi Tips Kehamilan & Cara Suntik Keharmonian Dalam Keluarga – “Kena Selalu Cakap I Love You”

Selain dikenali sebagai pelakon berbakat besar yang sering menjadi rebutan penerbit, Fasha Sandha, 38, merupakan seorang ibu hebat kepada tiga cahaya mata.

Menerusi segmen #BabyXTRA, Fasha menceritakan pengalaman mengandung anak ketiga, Aisha Amaira Aidil yang disifatkan sebagai paling menyakitkan kerana dirinya hamil selepas usia mencecah lebih 35 tahun.

“Pada saya ketiga-tiga anak saya tu ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Tapi dari segi pregnancy yang paling teruk adalah Aisha. Banyak morning sickness, cepat penat dan sangat mengah,” katanya.

Berkongsi tips mengenai kehamilan tersebut, Fasha berkata dia masih memilih untuk mengikuti cara penjagaan dari segi tradisional dan moden seperti yang disarankan oleh ibu bapanya.

“Saya masih lagi ikut apa yang ibu bapa saya beritahu contohnya macam pantang larang orang berpantang selama 44 hari seperti memakai stokin, tak boleh keluar dan sebagainya,” ujarnya.

Dari segi penjagaan makanan, Fasha berkata dia lebih memilih untuk masak sendiri daripada mengharapkan bantuan orang lain seperti pembantu rumah kerana mempercayai seorang ibu lebih tahu nutrisi terbaik buat anak.

“Saya amat menjaga pemakanan yang diambil oleh anak-anak saya. Saya lebih senang untuk masak makanan buat anak-anak saya terutamanya semasa mereka sedang membesar.

“Mencecah umur enam bulan ke atas selalunya saya akan beri bubur letak carrot.. Kadang kala makan organic cereals yang khas untuk baby,” ujarnya lagi.

Disoal sama ada aktres Rampas Cintaku ini pernah menjadi seorang ibu yang terlalu melindungi dan mengehadkan kebebasan anak, Fasha berkata dia tidak mudah terpengaruh dengan persekitaran dan mempercayai ibu bapa berhak untuk membuat keputusan untuk anak-anak mereka.

Berkongsi mengenai tips keharmonian dalam kekeluargaan, Fasha berkata perkara paling utama adalah untuk sentiasa berkongsi perasaan dan berkomunikasi antara satu sama lain.

“Kita perlu sentiasa berkomunikasi dalam apa juga sekalipun dengan anak-anak, suami. Ada apa-apa yang tak puas hati… Hari-hari kena cakap dengan anak kita.

“Tanya perasaan anak, macam mana keadaan di sekolah.. Jadi seorang ibu yang prihatin dan mengambil berat terutamanya kepada anak-anak yang sedang meningkat umur.

“Apa yang saya terapkan dalam keluarga saya yang paling penting kena selalu cakap I love you. Dalam sehari banyak kali pun tak apa biar lebih lima enam kali.

“Selalu biar diorang dengar yang kita sayang pada mereka. Jangan lupa untuk cakap perkara yang menyenangkan anak-anak kita.

“Kadang-kadang ada masa anak-anak saya jadi tantrum, tapi saya sebagai ibu cara untuk menegur anak perlu lebih bertoleransi. Sekiranya mereka buat perkara yang melampaui batas, kita tegur. Ada benda yang boleh ditegur, dan ada benda yang kita kena mengalah,” ujarnya.

Sekadar info, Fasha berkahwin dengan pelakon, Aidil Aziz pada Mac 2019 dan hasil perkahwinan kedua ini dikurniakan seorang cahaya mata Aisha Amaira.

Menerusi perkahwinan pertama, Fasha mempunyai dua cahaya mata iaitu Putra Rayfal Ramli dan Putri Raysha Jemyma.

Aqilah Paharuzi