Bakal Tamatkan Zaman Bujang, Aizat Amdan Pilih 14 Ogos 2022 Sebagai Tarikh Keramat

Penyanyi Aizat Amdan akhirnya mengumumkan bakal menamatkan zaman bujangnya sedikit masa lagi.

Menurutnya, dia memilih tarikh keramat 14 Ogos sebagai tarikh pernikahan bersama suri hati pilihannya, Elyssa Alia Ilias, 34.

Berita gembira itu dikongsi Aizat Amdan atau nama sebenarnya Muhammad Aizat Amdan, 33, pada majlis pelancaran lagu terbaharunya berjudul, Hanya Kita Dua pada Rabu.

Berkongsi mengenai detik perkenalan kedua-dua pasangan ini, Aizat memaklumkan dia mengenali Elyssa ketika ditemu bual wanita itu dalam satu acara.

“Sebenarnya latar belakang Elyssa ni, dia pernah jadi host rancangan juga.. dia pernah jadi pengacara majlis juga. Dan kita berjumpa pun masa dia interview saya,” katanya.

Tambahnya, tempoh masa tiga tahun sudah cukup untuk dirinya tahu bahawa wanita yang juga pengurusnya itu adalah pilihan yang tepat selain sikap Elyssa yang begitu menyakinkan dan keserasian yang wujud antara mereka.

“Saya rasa ini masa yang tepat selepas bercinta selama tiga tahun. Saya tidak pernah ada perasaan seperti ini, jadi saya tahu dia orang yang tepat,” jelasnya.

Sementara itu, Elyssa turut memuji keperibadian Aizat yang dianggap seorang lelaki yang baik dan sentiasa jujur dengan dirinya.

“Mulanya rasa bimbang bila bercinta dan bekerja serentak. Tetapi Aizat seorang lelaki yang baik dan untuk pertama kalinya saya bebas menjadi diri sendiri serta tidak perlu berpura-pura di depan lelaki,” katanya.

Justeru itu, sempena menjelangnya hari bahagia penyanyi yang popular menerusi Kau Pergi ini, beliau tampil mendedikasikan lagu Hanya Kita Dua untuk bakal isterinya itu.

 

Malah, lagu yang dicipta sejak beberapa tahun lalu itu merupakan kesinambungan lagu Sampai Ke Hari Tua.

“Apabila lagu Sampai Ke Hari Tua mendapat sambutan hangat daripada peminat, saya terfikir untuk buat satu lagi lagu baharu yang lebih rancak.

“Ada orang lebih suka dengan lagu rancak dan catchy, maka terhasil lah lagu Hanya Kita Dua yang saya akan jadikan lagutema untuk perkahwinan nanti,” jelasnya.

Terdahulu, Elyssa telah dirisik oleh keluarga Aizat pada 12 Februari lalu dalam sebuah majlis yang diadakan secara ringkas.

Salma Syahbuddin