Categories: HiburanTrending

Bapa Terlantar Bukan Alasan Fimie Don Menghilang Dalam Industri – “Saya Perlu Profesional…”

Pelakon dan penyanyi, Fimie Don memaklumkan keadaan bapanya yang sekian lama sakit dan perlukan penjagaan rapi tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkarya dalam industri seni.

Terdahulu, bapa Fimie, Saedon Abdul Rani, 62, menghidap strok sejak tujuh tahun lalu.

Fimie, ibu dan kakak bergilir-gilir menjaga bapanya yang terbaring di atas katil seperti membersihkan najis dan menyalin lampin pakai buang.

Menurut Fimie atau nama sebenar Shafimie Saedon yang bergelar anak seni sejak usia 5 tahun lagi, dia perlu tampil profesional dalam kerjayanya.

Baginya, lakonan dan nyanyian merupakan punca rezeki. Jika dia gagal memberi komitmen, pendapatannya akan terjejas.

Justeru, walau apa pun yang berlaku dalam episod kehidupannya, dia tidak akan menghilangkan diri dalam industri.

“Lakonan ini ialah kerja saya. Saya perlu jadi pekerja yang profesional.

“Apa yang berlaku dalam hidup saya, putus cinta atau orang meninggal, kerja saya tetap diteruskan,” katanya.

Namun demikian, mengakui tidak dapat lari dari tanggungjawab sebagai seorang anak, Fimie turut memberi perhatian terhadap bapanya walaupun kini mereka tinggal berjauhan.

Dalam pada itu, pelakon Hikayat Putera Shazlan itu meluahkan rasa syukur kerana mempunyai seorang ibu yang sanggup berkorban untuk menjaga bapa.

“Sebanyak mana saya tolong jaga mak saya tak boleh lawan sebanyak mana mak saya jaga ayah saya,” ujarnya.

Fimie ditemui XTRA ketika pementasan teater Balada Si Angsa Hitam yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa Pustaka (DBP) pada Jumaat.

Sementara itu, diusik dengan soalan berkaitan teman istimewa atau kekasih, Fimie memberitahu hatinya masih belum diketuk oleh mana-mana wanita buat masa sekarang.

“Tak jumpa lagi, saya follow the flow saja,” katanya lagi.

Syamir Shafie