Bekas Isteri Dedah Insiden Dimarahi, Dicederakan Radhi OAG – “Tak Perlu Nak Selfie Peluk Sebab Dah Bercerai…”

Bekas isteri kepada penyanyi kumpulan OAG, Radhi iaitu Nur Shahira Ayu Zahiri memberi keterangan di Mahkamah Majistret hari ini berhubung insiden dimarahi penyanyi tersebut gara-gara tidak mahu berswafoto.

Memetik laporan Harian Metro, ketika kejadian berlaku, dia sedang bersama kakak dan tiga anak saudaranya yang berada dalam kereta di lobi parkir di Emporis Kota Damansara, 19 April tahun lalu.

“Menjerit, kau bagus sangat ke? Kau cantik sangat ke?,” ujar bekas isteri mendedahkan kata-kata yang dilemparkan Radhi kepadanya.

Menurut saksi pendakwaan pertama, keberadaannya di parkir itu adalah untuk membawa pulang anak lelaki mereka berusia tujuh tahun dari kediaman Radhi.

Namun, penyanyi itu didakwa meminta saksi untuk berbincang mengenai isu anak di tepi Kereta sebelum berangkat pulang.

“Radhi kemudian terus tolak saya untuk berswafoto dalam kereta menggunakan telefonnya. Saya cakap tidak mahu mengambil gambar macam itu, tak perlu nak peluk dan berswafoto kerana sudah bercerai.

“Kalau nak bergambar, ambil di luar kereta dan itu permulaan Radhi marah. Dia jerit depan muka saya termasuk mengeluarkan perkataan kesat kerana marah, kenapa tidak boleh berbaik untuk ambil gambar.

“Saya cakap elok-elok ketika perbalahan berlaku. Kenapa perlu marah? Kita ada kehidupan masing-masing dan tidak perlu ambil gambar sebegini.

“Ada insiden tarik baju serta rambut selain penolakan, banyak kali pergaduhan seperti ini berlaku sebelum ini. Kami terkeluar dari kereta sebelum kakak datang peluk dan meleraikan pergaduhan yang berlaku,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamed Wafi Hussain.

Mengikut kertas pertuduhan, selebriti itu didapati sengaja mendatangkan kecederaan kepada Nur Shahira mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Nur Shahira didapati membuat laporan di Balai Polis Kota Damansara sejurus kejadian yang menyebabkan kesan lebam pada tangannya.

“Kemudian, saya mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Doktor ada tanya berasa sakit atau tidak atas kecederaan dialami, saya jawab tidak buat masa sekarang.

“Saya juga buat X-ray di hospital dan tunggu laporannya untuk diserahkan kepada polis,” katanya.

Maya Basir