Bekerjasama Dengan Syarikat Antarabangsa, Neelofa Masih Diterima Baik Walaupun Berniqab

Selebriti terkenal dan sensasi, Neelofa dipilih oleh syarikat antarabangsa iaitu Airbnb untuk mempromosikan perkhidmatan ke seluruh dunia.

Neelofa juga turut berkongsi berita gembira ini menerusi laman media sosial Instagram miliknya.

Memetik laporan Berita Harian, Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor berkata, dia akan menjadi hos untuk kempen Rumah Terbuka Raya Airbnb di Sekebun Bunga, Batang Kali, Selangor pada 20 hingga 22 Mei ini.

“Alhamdulillah, saya bersyukur apabila dipilih menjadi hos bersama bagi kempen ini. Insya-Allah, jika sambutan bagus akan diteruskan di lokasi lain pula.

“Seperti kita tahu, syarikat ini menyediakan perkhidmatan di seluruh dunia. Jadi, ini adalah peluang terbaik apabila dipilih bekerjasama. Secara kebetulan, saya suka melancong.

“Bagi kempen kali ini, saya amat berbesar hati untuk menjadi hos bersama di sebuah lokasi yang cukup cantik dan selesa. Saya tidak sabar untuk bertemu dan beramah mesra dengan tetamu,” katanya.

Menurut suaminya pula, Muhammad Haris atau Pu Riz, dia melahirkan rasa syukur kerana isterinya masih lagi diterima baik walaupun berpenampilan berniqab lebih lagi apabila mendapat peluang bekerjasama dengan syarikat antarabangsa.

Sumber: Berita Harian

Izzi Farhana