Bell Ngasri Minta Maaf Tak Boleh Tunai Janji – “Saya Anggap Ia Sekadar Gurauan “

“Saya tidak menyangka dan terlepas pandang ada dalam kalangan pengundi saya bukan beragama Islam”.

Demikian kata Aktor Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-35 (ABPBH 35) Bell Ngasri selepas terkejut janjinya untuk belanja makan tengahari pada bulan Ramadan yang dibuat sebelum ini diambil serius oleh segelintir pihak.

Menurut Bell, 42, dia tidak menyangka dan terlepas pandang, bahawa terdapat segelintir daripada pengundinya adalah dalam kalangan mereka yang bukan beragama Islam.

Justeru, dia memohon maaf kerana gagal menunaikan janjinya itu sekaligus mengambil iktibar daripada gurauan tersebut.

“Saya termenung sekarang ini kerana tidak tahu bagaimana hendak memberikan maklum balas. Saya memang tidak sangka sebenarnya.

“Apabila dijadikan sebagai manifesto kempen, saya berpendapat takkan mereka hendak makan ketika bulan puasa. Namun, saya tidak menyangka dan terlepas pandang ada dalam kalangan pengundi saya bukan beragama Islam.

“Saya minta maaf, namun saya bukan berkecimpung dalam bidang politik. Saya berada dalam bidang hiburan dan apa yang saya buat untuk menghiburkan anda semua saja.

“Tidak ada pun saya terfikir untuk merealisasikan apa yang dijanjikan dengan betul. Namun saya menjadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran untuk membuat lawak,” katanya.

Berkongsi lebih lanjut mengenai perkara itu, Bell menjelaskan manifesto kempen tersebut adalah cadangan daripada rakannya, namun dia menganggap ia sekadar gurauan sahaja.

“Manifesto yang digunakan untuk berkempen itu adalah cadangan daripada rakan, tetapi saya tidak menyangka ia dipandang serius pula. Saya anggap ia sekadar gurauan saja,” jelasnya.

 

Sumber: Harian Metro

Salma Syahbuddin