Categories: HiburanTrending

Biarpun ‘Terlukis Indah’ Viral di TikTok, Rizky Febian & Ziva Magnolya Berhadapan Dengan Ujian Tersendiri

Lagu duet Terlukis Indah nyanyian penyanyi Indonesia, Rizky Febian dan Ziva Magnolya mendapat perhatian ramai pihak, terutamanya penggemar muzik nusantara.

Lagu ciptaan Rizky sendiri ini dilancarkan sekitar Julai lalu itu menjadi viral serta sering digunakan oleh pengguna TikTok di aplikasi terbabit.

Namun begitu, disebabkan pandemik Covid-19 yang memberikan kesan kepada industri seni, Rizky dan Ziva berhadapan dengan ujian tersendiri.

“Wabak Covid-19 memberi impak besar dan ia memang menguji semua pihak. Kami yang bekerja dalam industri seni dan kreatif juga terkesan.

“Semenjak keadaan semakin baik, kami sudah boleh membuat persembahan secara bersendirian tanpa kehadiran penonton tapi rasanya tetap tidak sama, tenaga yang kami dapat berbeza sama sekali.

“Selain itu, lagu Terlukis Indah sedang mendapat perhatian ramai tetapi keadaan tidak seperti dahulu. Kami tidak boleh mengadakan jelajah untuk mempromosikan lagu ini. Jika dahulu, pastinya kami dapat bertemu dengan pihak media dan peminat di serata Indonesia dan Malaysia yang selama ini menyokong.

“Apapun, kami bersyukur keadaan semakin pulih dan ujian yang dihadapi oleh kami dan pemain industri lain semakin berkurang,” kata Rizky.

Rizky dan Ziva ditemu bual ketika majlis sidang media pelancaran lagu Terlukis Indah secara maya pada Isnin.

Bercerita mengenai Terlukis Indah, Ziva bersyukur kerana dia dapat berduet dengan Rizky dalam karya ini setelah sering bekerjasama untuk menyanyi secara langsung.

“Perjalanan karier saya bermula apabila Rizky menemui bakat saya semasa uji bakat Indonesia Idol 2019. Ketika itu, saya mendapat undangan khas dari Rizky semasa uji bakat di Jakarta.

“Selepas itu, saya sering menyanyi dengan Rizky tetapi belum sempat berduet dalam sebuah naskhah. Akhirnya, lagu Terlukis Indah telah melaksanakan impian saya ini.

“Sejak dilancarkan pada bulan Julai lalu, lagu ini mendapat respons yang sangat positif daripada pendengar di Indonesia malah peminat Malaysia juga menyukai lagu ini. Kami sangat bersyukur,” katanya.

Terlukis Indah digunakan lebih 56,000 kali oleh pengguna aplikasi TikTok dan meraih lebih 79.4 juta tontonan manakala muzik videonya meraih lebih 5.7 juta tontonan serta video liriknya pula mendapat 4.1 juta tontonan di YouTube.

Padin