Bintangi Drama Lelaki Itu, Sarimah Ibrahim Perlu Menangis Lapan Kali Dalam Masa Satu Hari – “Saya Tak Pernah Bawa Watak Begini”

Pelakon dan pengacara, Che Puan Sarimah Ibrahim meluahkan rasa teruja apabila membuat penampilan kembali dalam dunia lakonan.

Bercakap kepada XTRA, Sarimah akui karya terbitan produser, Erma Fatima sangat menarik minatnya untuk menerima naskah Lelaki Itu.

“Saya sangat teruja sebab ini satu projek yang besar untuk TV3. Kemudian, saya juga dah lama tak berlakon drama.

“Kali terakhir saya berlakon adalah 15 tahun lalu. Saya sebenarnya tunggu anak perempuan saya besar, jadi bila dah besar dia kena terimalah saya masuk set semula.

“Berlakon pula di bawah terbitan Erma Fatima, siapa yang tak mahu kan? Watak dan jalan cerita drama Lelaki Itu sangat menarik,” katanya.

Selepas lama berehat panjang, Sarimah berkata bakat lakonannya harus diasah dengan mengambil kelas lakonan sebelum masuk ke set.

“Alhamdulillah, saya tak berapa gemuruh, sebelum saya terima tawaran ini, saya ada buat latihan dalam lakonan untuk tambah ilmu dan persiapkan diri.

“Saya banyak praktis, saya suka cara Erma Fatima bekerja, ia sekali gus dapat menghidupkan watak kita. Kita yang memandu skrip, bukan sebaliknya.

“Saya bersyukur apabila bebas untuk tonjolkan apa yang saya ada. Penghafalan saya juga agak baik biarpun saya banyak buat kerja-kerja pengacaraan,” kongsinya.

Mengulas mengenai watak yang digalas dalam drama Lelaki Itu, Sarimah berkata watak yang dibawanya sangat berlainan daripada karya-karya yang pernah dilakonkan sebelum ini.

“Saya tak pernah bawakan watak begini, pelbagai personaliti saya kena lakonkan seperti sedih, murung, gembira, mabuk, tua dan muda. Semua ada dalam Lelaki Itu.

“Sepanjang saya berlakon ini, saya tak pernah sepenat secara emosi dengan mana-mana produksi, bayangkan dalam masa satu hari saya ada 8 babak menangis, kemudian gembira pula. Jadi ia berat juga tetapi saya puas.

“Saya harap penonton boleh terima watak ini sebab ia tidak dibawa dengan klise,” ujarnya.

Untuk info, Sarimah bakal muncul dalam drama Lelaki Itu pada bulan Ramadan tahun hadapan di TV3.

Khairil Khusyairi