Buang Imej Gedik, Aliff Syukri Mengaku Sudah Penat…

Usahawan kosmetik terkenal Datuk Seri Aliff Syukri mengaku mengalami perubahan dalam diri selepas pemergian bapa tercinta, akhir Februari lalu.

Kata Aliff ketika ditemui XTRA baru-baru ini, dia sudah ‘penat’ untuk terus mengekalkan sifat gila-gila di media sosial seperti yang sering dilakukan sebelum ini.

” Saya mula berniaga sejak usia 23 tahun dan sudah 11 tahun saya berjuang untuk sampai ke tahap ini. Sudah tiba masanya saya memperlahankan sedikit cara promosi saya di media sosial yang sebelum ini sering menjadi kecaman netizen.

” Kadang-kadang saya pun tidak faham apa yang mereka mahu. Bila saya bercakap dalam cara formal, mereka pelik dan tanya kenapa tak ceria seperti selalu. Bila saya gedik, jadi mangsa kecaman. Sampai ada orang label saya sebagai gila sebab selalu live di FB walhal mereka tidak faham untuk saya ke tahap ini, bukan mudah sedangkan banyak jenama produk kecantikan sudah gulung tikar,” katanya.

Tambah Aliff yang kini sibuk dengan perniagaan baharu AS Legacy yang menjual pakaian orang dewasa dan kanak-kanak, dia akan sentiasa meneroka cabang baharu dalam dunia perniagaan untuk terus relevan.

” Selagi ada kudrat, saya akan terus berjuang cuma cara mungkin tidak sama lagi. Saya rasa sudah tua untuk terjerit-jerit di Instagram dan laman sosial lain.

” Atas sebab itu saya akan menggunakan beberapa selebriti terkenal dalam urusan promosi produk saya selepas ini. Saya ada lebih 100 produk untuk diketengahkan, mustahil saya boleh lakukan seorang diri.

” Macam saya kata tadi, sudah sampai masa untuk saya kurangkan gedik di laman sosial,” akhirinya. 

Oleh: SGMS Azroy

SGMS Faida