Buang Ketumbuhan Dalam Rahim Buat Kali Kedua, Scha Sedia Timang Cahaya Mata!

Pelakon dan pengacara, Scha Alyahya memaklumkan bahawa dia telah menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan dalam rahim atau dikenali sebagai Endometriosis di sebuah pusat perubatan di ibu kota, Khamis lalu. 

Scha yang merancang untuk menimang cahaya mata kedua mendapati terdapat ketumbuhan di dalam rahimnya apabila membuat pemeriksaan pada Disember lalu. 

Terdahulu, Scha atau nama penuhnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya pernah menjalani pembedahan yang sama pada 2013 sebelum disahkan hamil anak sulungnya, Lara Alana.

“Ketika membuat pemeriksaan pada Disember lalu, saya dimaklumkan terdapat ketumbuhan baru dan disarankan untuk menjalani pembedahan. 

“Tambahan pula, akibat ketumbuhan itu tanda-tanda lama berulang seperti sakit pinggang dan  sakit perut yang melampau ketika datang bulan,” kata Scha kepada Harian Metro. 

Menurut Scha lagi, perkara ini tidak mengejutkan kerana ia memang boleh berlaku lagi pada individu yang pernah mengalaminya dan faktor permakanan adalah di antara punca-punca Endometriosis boleh berulang. 

Memetik laporan Harian Metro, Scha berasa lega selepas menjalani pembedahan dan berharapa agar keinginan untuk menimang cahaya mata kedua dipermudahkan kerana ketumbuhan itu menyebabkan dia sukar untuk hamil. 

“Meskipun ada penghidap sama boleh hamil, namun dalam kes saya, ini antara punca saya susah nak hamil lagi. 

“Jadi, saya berdoa selepas ini dipermudahkan proses untuk hamil kali kedua.  Meskipun ada rawatan alternatif lain untuk hamil, tapi sekurang-kurangnya saya kena buang ketumbuhan ini dulu,” katanya. 

Kredit Foto: Instagram @schaalyahya

 

Del14