“Bukan Mengandung…Itu Lemak!” – Adira Suhaimi

Penyanyi, Adira Suhaimi yang baru sahaja melahirkan anak ketiganya, Anggun pada Ogos lalu mengakui amat sukar untuk mendapatkan berat badan yang ideal selepas bersalin. 

Adira yang kelihatan berisi sewaktu beraksi pada Separuh Akhir Muzik Muzik 34 (SFMM 34) baru-baru ini menafikan yang dia sedang hamil sekali lagi apabila ditegur tentang susuk badannya itu. 

“Bukan mengandung…Itu lemak.

“Saya sedang dalam proses menurunkan berat badan.  Namun, jujur saya akui, bukan mudah hendak kurus.  Mungkin kerana saya sudah melahirkan tiga cahaya mata dan semuannya melalui pembedahan.

“Jika boleh, saya mahu kurus kerana hendak aktif dalam bidang nyanyian,” katanya sewaktu sidang media program hiburan yang diterbitkan oleh sebuah stesen televisyen satelit berbayar baru-baru ini. 

Walaupun ingin kembali langsing, pelantun lagu Pujaan Hati itu tidak mahu menggunakan jalan pintas sekiranya ia boleh membahayakan diri. 

“Biarlah mengambil masa sedikit, lagipun saya masih menyusukan Anggun.  Apatah lagi, jika hamil, saya membahayakan kesihatan tubuh sendiri,” katanya lagi. 

Adira juga meluahkan rasa kecewa kerana lagunya itu tidak dapat mara ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) yang ke-34. 

“Penyanyi mana yang tidak mahu bertanding di pentas AJL? Tetapi saya reda kerana semuanya sudah tertulis.  Apatah lagi, kesihatan saya kurang memberangsangkan sekarang. 

“Pada malam itu, saya yakin boleh memberikan yang lebih baik jika kesihatan mengizinkan. 

 

“Memang saya jarang sakit, namun, kalau tidak sihat, selalunya mengambil masa lama untuk sembuh.  Sakit tekak yang dialami ketika bertanding pada SFMM34, sudah berminggu-minggu sebenarnya,” katanya lagi kepada BH Online.

Kredit Foto: Instagram @adira.suhaimi

 

Del14