Darjat Ibu Bapa Terlalu Tinggi Untuk Diperdebat, Neelofa Akui Kelemahan Dalam Memberi Pandangan – “Saya Bukan Ustazah…”

“Saya bukannya ustazah dan orang yang layak untuk bercakap tentang ini tapi saya tahu sikit-sikit pasal benda ni,” demikian kata selebriti, Neelofa yang tampil mengulas dakwaan dirinya tiada empati dalam memberikan pendapat, baru-baru ini.

Sebelum ini, Neelofa dan seleberiti, Nabil telah dikecam teruk ketika memberikan pandangan terhadap perkongsian seorang pemanggil yang menceritakan kisah keluarganya di sebuah stesen radio.

Menurut Neelofa, isu ibu bapa ini merupakan topik yang sukar untuk diperdebat memandangkan dalam konteks Islam darjat mereka sangat tinggi di sisi Sang Pencipta.

“Soal mak ayah ni susah nak perdebat sebab terang dalam hadis dan Al-Quran bercakap tentang perkara ini.

“Bila kita cakap pasal mak ayah ni sesuatu yang sangat berat dari sisi Allah SWT.  Mak ayah ni satu subjek yang sangat besar sebab dalam Al-Quran sendiri kata jangan mensyirikkan Allah dan minta berbuat baik kepada mak ayah.

“Betapa besarnya martabat, darjat, status mak ayah ni di mata Allah.Dalam hidup ada benda yang kita tak boleh nak pilih.

“Memang mak ayah ni kita tak boleh nak pilih, kita tak ada pillihan siapa mak ayah kita. Bila diuji dengan mak ayah yang tidak bertanggungjawab, itu adalah ujian Allah kepada kita.Tapi kita sebagai anak ni ada kadarnya.

“Allah kata jika ibu bapa suruh kita mensyirikkanNya, jangan mentaati mereka tapi berbuat baik mereka. Yang mensyirikkan Allah pun, Allah tetap suruh taat pada mereka apatah lagi dosa mereka yang lain,” katanya.

Mengakui khilafnya dalam memberikan pandangan, Neelofa turut menyatakan respons yang diberikan itu juga spontan memandangkan dia perlu menjawab dalam masa yang singkat

“Saya tak cakap apa yang saya dengan Nabil cakap tu salah. Apa yang saya cakap dalam waktu yang singkat tu tidak lengkap, saya faham bila orang cakap tak menyentuh aspek lain seperti mental health.

“Masa tu saya pun terpandang Nabil saya pun tak sempat nak jadi terapi nak cakap pasal benda ini. Bila secara spontan itu adalah reaksi dan juga jawapan dari saya sebab kita tak ada masa yang lama nak fikir jawapan.

“Tapi saya akui ketidak sempurnaan dan kelemahan saya dalam memberikan pandangan itu betul. Kalau saya ada masa untuk huraikan, mungkin orang lebih memahami,” jelasnya.

Neelofa bagaimanapun menegaskan bahawa setiap respons yang diberikan juga berlandaskan apa yang tertulis di dalam hadis dan Al-Quran.

“Bila sentuh fasal mak ayah ini, penjelasan dalam bab agama itulah dia. Itulah yang saya tak boleh tukar, ini bukan apa yang saya cakap, tapi ini yang Allah cakap dalam Quran dan apa yang Nabi sebut dalam hadis-hadisnya.

Redha Allah bergantung pada redha mak ayah. Selagi kita hidup, selagi ada peluang dan ruang untuk memaafkan, berbuat baik, berkhidmat, taat, kita buat sehabis baik pada mereka.

“Keberkatan hidup, perhitungan di akhirat nanti semua bergantung kepada macam mana hubungan kita dengan mereka masa hidup ni.

“Saya faham kesukaran adik itu bukan satu benda yang mudah, kita pun taknak. Sekiranya ibu dia datang dengan penuh penyesalan, maka carilah sedikit ruang untuk memaafkan. Kita anak-anak kena tahu tempat kita dengan mereka di sisi Allah,” ujarnya.

 

 

Fatin Nurain