Aizat Saha Berat Hati Tinggalkan Kerjaya Di Awan Biru, Anggap Ada Hikmah – “Ibu Saya Paling Risau Bila Saya Bertugas”

Pempengaruh Aizat Saha mengakui berat hati apabila membuat keputusan untuk tidak lagi berkhidmat sebagai pramugara demi memberi fokus kepada kerjaya lakonan.

Bercakap kepada XTRA, Aizat yang poular di TikTok itu menganggap keputusan tersebut adalah yang terbaik dalam hidupnya.

“Berat hati juga sebab ia satu kerjaya yang saya impikan sebelum ini. Berat sebenarnya untuk melepaskan kerjaya itu. Rindu nak ‘fly’.

“Tapi saya yakin, apa sahaja keputusan yang saya buat mungkin yang terbaik buat perjalanan hidup saya, Insya-Allah,” katanya ketika ditemui.

Tambah anak kelahiran Kota Tinggi, Johor ini lagi, keluarganya juga memberi sokongan penuh apabila mengambil keputusan untuk tidak lagi terbang di awan biru.

“Keluarga juga menyokong apabila saya berhenti kerana selama saya bekerja sebagai anak kapal, ibu saya adalah orang paling risau kalau saya bertugas.

“Saya bertugas di awan biru, jadi ibu saya adalah orang yang selalu bertanya ‘dah sampai ke belum?’. Pekerjaaan itu satu risiko.

“Mungkin ada hikmah bila saya tinggalkan kerjaya itu untuk kurangkan kerisauan ibu saya,” ujarnya.

Tambah Aizat, kerjaya sebagai pelakon adalah salah satu impiannya sejak dari kecil, malah pernah menyertai beberapa ujibakat lakonan sebelum ini.

“Daripada dulu saya impikan untuk jadi pelakon, dulu ada juga saya pergi ujibakat lakonan dan pernah juga berlakon drama.

“Tapi ketika itu mungkin bukan waktu terbaik untuk saya ke arah itu. Jadi saya tolak tepi dahulu dunia lakonan itu.

“Tapi sekarang pendedahan daripada TikTok terutamanya memberi saya semangat untuk masuk dan cuba semula dalam industri,” kongsinya.

Berkongsi mengenai perancangan kariernya, Aizat memaklumkan dia bakal muncul dalam beberapa buah drama yang akan ditayangkan di TV3 kelak.

“Saya juga baru habis jalani penggambaran drama TV3 dan kemudian ada juga penglibatan saya menerusi iklan TV dan muzik video.

“Ada juga dapat tawaran beberapa drama tapi saya belum putuskan lagi,” tutupnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Penangan Video ‘Abang POV’, Aizat Saha Ditawar RM500,000 Jadi ‘Anak Ikan’

Khairil Khusyairi