David Teo Sarankan FINAS Teliti Semula Kriteria Pemilihan Penerima DKD

Penerbit David Teo menyarankan pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) meneliti semula kriteria pemilihan penerima Dana Kandungan Digital (DKD) susulan kes penyalahgunaan dana, April lalu.

Menurut David, pihak FINAS perlu menambah baik kriteria pemilihan penerima dana bagi mengelakkan isu tersebut berulang lagi.

“Prosedur pemberian sudah betul, cuma kriteria pemilihan penerima perlu ditambah baik.

“Penerima perlu dipilih dalam kalangan yang betul-betul berpengalaman, bukan sahaja pandai buat filem, tetapi juga arif menguruskan produksi.

“Kalau boleh elakkan mereka yang baru nak jadi pengarah atau yang bukan penggiat filem, tapi mohon dana sebab dapat projek buat filem,” katanya.

Dalam pada itu, David juga berpendapat bahawa pihak penerima yang layak menerima dana tersebut perlulah mempunyai kemahiran yang tinggi dalam menguruskan perihal pembikinan filem.

“Kena ada pengalaman A to Z dalam menghasilkan filem, termasuk jaga kewangan, teknikal, post produksi, pemasaran, promosi dan sebagainya,” jelasnya.

Fatin Nurain