Lama rasanya dah tak dengar cerita juara rancangan Vokal Bukan Sekadar Rupa, Asmidar. Ketika ditemui di Majlis Pengumuman Festival Jerayawara Pekan Bangsawan Warisan Budaya (JPBWB) di Matic Kuala Lumpur, sebentar tadi, ternyata anak jati Kuala Lumpur ini masih lagi aktif.

Selain memiliki vokal mantap dan berkualiti, Asmidar juga mencuba nasib dalam bidang teater Bangsawan. Wah, terbaiklah Asmidar!

“ Menerusi persembahan Bangsawan Dendam Laksamana, saya banyak buat ulangkaji dengan menonton filem-filem lama dan filem bangsawan. Ini untuk belajar cara mereka bertutur dan sebagainya,” katanya yang agak berdebar dengan persembahan sulungnya di pentas teater.

Bercerita mengenai pengalaman dapat bekerja di bawah ketua pelatih, Pat Ibrahim, Asmidar memberitahu dia kagum dengan kesungguhannya mengajar.

“ Dalam beliau berlawak, tegasnya tetap ada. Rakan- rakan lain dalam produksi ini juga amat membantu dan menyokong saya, bila tak betul mereka tegur dan bantu,” katanya.

Dalam sama sama, Asmidar memaklumkan tahun ini dia juga sibuk membantu ibu berniaga di Bazar Ramadhan Wangsa Maju.

“ Seperti tahun sebelumnya, kalau tidak ada undangan persembahan atau aktiviti seni, saya pasti di bazar,” katanya yang sudah mengusahakan perniagaan murtabak hampir 20 tahun bersama keluarga di lokasi sama.

SGMS Faida