“Dia Sangat Kuat” – Selepas Ditidurkan, Sissy Iman Kini Stabil & Pembedahan Berjalan Lancar

Penyanyi Sissy Iman dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan di sebuah hospital semalam.

Ketika dihubungi Harian Metro, bapa kepada Sissy Iman, Aliff Mohammad Kamil, 59, memaklumkan bahawa anaknya itu sudah dibenarkan pulang ke rumah pada pukul 6 petang semalam.

“Alhamdulillah, pembedahan berjalan lancar. Kami sudah bawa dia balik rumah pada petang semalam. Selepas keadaannya stabil, doktor menasihati agar berehat di rumah. Cuma, selepas lima hari perlu datang semula ke hospital bagi pemeriksaan lanjut,” ujarnya kepada Harian Metro.

Namun begitu, Aliff turut mendedahkan bahawa Sissy tidak berkongsi tentang penyakit yang dialami sehingga perlu dibedah kepada bapanya itu.

“Soal sakit Sissy biarlah dia sendiri yang terangkan nanti. Dia seorang saja tahu sakit apa. Sebab dia pun tak beritahu dan berkongsi dengan kami. Saya ada bertanya juga, tapi dia cakap tidak ada apa-apa. Dia cakap juga jangan tanya apa-apa selain meminta jangan risau.

“Apa yang saya tahu, sebelum ke Sabah bagi menjalani penggambaran travelog, saya teman dia pergi berjumpa doktor. Ketika itu saya di luar. Selepas itu dia cakap, doktor menasihati untuk menjalani pembedahan. Jadi, semuanya macam tiba-tiba saja. Sissy sangat kuat, dia tak menangis langsung. Saya pula yang nangis,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, Aliff menceritakan sebelum Sissy memasuki dewan pembedahan, dia sempat meminta maaf dan meminta ayahnya untuk tidak menangis.

“Sebelum masuk dewa pembedahan, dia ada cakap ‘ayahanda jangan nangis-nangis, kakak (Sissy) okay’. Dia minta maaf juga,” kata Aliff.

Walaubagaimanapun, Aliff yang mesra disapa Ayahanda berterima kasih kepada semua yang tidak berhenti mendoakan kesihatan Sissy.

Semalam, Sissy memuat naik satu hantaran yang memaklumkan bahawa dia akan menjalani proses pembedahan dan proses tersebut memerlukannya untuk ditidurkan.

Namun, Sissy tidak memberitahu penyakit yang dialami sehingga memerlukan pembedahan.

ARTIKEL BERKAITAN:“Jumpa Lagi, Insya-Allah” – Sissy Iman Ditidurkan, Mohon Ampun & Maaf Jika Pernah Menyakiti Sesiapa

Sumber: Harian Metro

Atiqah Johari