“Dia Sendiri Tawarkan Diri” – Aisha Retno Bakal Gayakan Busana Teh Firdaus Di Pentas AJL38

Penyanyi Aisha Retno bakal bekerjasama dengan pereka fesyen yang menghasilkan busana Majlis Istiadat Perkahwinan Diraja Brunei iaitu Teh Firdaus untuk Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38), bulan depan.

Menurutnya, dia sangat berbesar hati menerima lamaran Teh Firdaus dan tidak sabar untuk menggayakan busana sentuhan pereka fesyen muda tersebut.

Malah, Aisha yang akan mempertandingkan lagu Sutera tidak kisah untuk melabur banyak untuk penampilan di atas pentas AJL 38.

“Teh Firdaus sendiri menawarkan diri untuk taja pakaian saya di pentas AJL 38. Ini julung kalinya dia menghasilkan rekaan baju untuk artis. Sebelum ini, dia banyak menghasilkan busana pengantin.

“Secara kebetulan, saya memang meminati hasil rekaannya. Bila Teh Firdaus tawarkan untuk reka pakaian pada AJL 38, tentulah saya tak menolak.

“Dia mahu bereksperimentasi dan saya tak sabar nak tengok apa yang bakal Teh Firdaus hasilkan. Apa yang penting, selesa untuk menari,” katanya semasa ditemui di Meet & Greet AJL Paling Ikonik di Pasar Seni, baru-baru ini.

Berkongsi tentang persiapannya, Aisha mendedahkan dia mengalami kecederaan ringan di kaki akibat gigih berlatih dan terpaksa memperlahankan latihan.

Tambahnya, dia akui teruja namun memberikan sedikit tekanan kepada emosinya.

“Memang ia memberikan tekanan kerana saya sejenis yang nak kawal semua benda. Kalau boleh saya nak buat semua benda sendiri.

“Lagi tertekan bila ramai meletakkan harapan, jadi saya harap cepatlah AJL 38 berakhir supaya tak banyak fikir lagi.

“Saya tak menaruh harapan tinggi, ada rezeki saya bersyukur. Tapi, saya bersaing dengan ramai finalis hebat-hebat,” ujarnya.

Maya Basir