“Dia Takut Akan ‘Crack’ Lagi Sekali…” – Keluarga Rayu Rawatan Buat Yasin Sulaiman

Susulan kes mengedar dan menanam 17 pokok ganja di kediamannya, abang kepada penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman iaitu, Zain Sulaiman memaklumkan bahawa pihak keluarga kini dalam proses rayuan untuk mendapatkan rawatan buat adiknya.

“Kami sedang berurusan dengan pihak penjara untuk memastikan dia mendapat rawatan sewajarnya. Itu sangat penting kerana dia seorang pesakit bipolar.

“Rekod perubatan menyaksikan Yasin dimasukkan ke Wad Psikiatri  Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia pertama kali pada tahun 2009 dan sejak itu dia berada di bawah pengawasan doktor pakar,” katanya.

Menurut Zain, sebelum ini hakim Mahkamah Sesyen dan Majistret Petaling Jaya telah menyerahkan urusan rawatan perubatan Yasin yang kini berada di penjara Sungai Buloh  kepada pihak penjara.

Namun, bimbang terhadap penyakit adiknya itu setelah dimaklumkan akhir-akhir ini dia mengalami bipolar psikosis.

“Dia memang ambil ubat secara berterusan. Episod paling teruk dilaluinya ialah pada tahun 2009, 2013 dan 2018.

“Akhir dan awal tahun ini dia dapat merasakan mungkin episod kronik itu akan berlaku semula. 

“Itu yang dia sebut dalam mahkamah dia takut akan ‘Crack’ lagi sekali. Akhir-akhir ini dia mengalami bipolar psikosis iaitu satu keadaan di mana pesakit tidak dapat membezakan alam realiti atau khayalan,” jelasnya.

Sementara itu, Zain memaklumkan Yasin juga sering mendapatkan ubat tambahan untuk penyakitnya itu namun, dia masih mengalami psikosis.

“Yang buat kami risau, Yasin sering mengalami halusinasi dan delusi dan sering berjumpa doktor pakar di sebuah hospital swasta. Walaupun diberi ubat tambahan dia tetap alami psikosis, jadi bila dalam penjara kami takut faktor ini akan buat dia trigger.

“Bipolar ini sama ada dia akan buat Yasin jadi ‘maniac’ ataupun tertekan. Jadi kami berharap agar keadaan dia stabil buat masa ini,” katanya.

Bagaimanapun, Zain dan keluarga berharap agar adiknya itu mendapat layanan yang baik oleh pihak penjara.

Terdahulu, Yasin Sulaiman, 47, tidak dibenarkan ikat jamin oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan iaitu mengedar dan menanam 17 pokok ganja di kediamannya.

Malah,  pihak Mahkamah menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula kes.

 

 

Sumber: Harian Metro

Salma Syahbuddin