Diam-Diam Tunai Umrah, Sikap Bersederhana Lisa Surihani & Yusry Dikagumi Peminat

Pelakon Datin Lisa Surihani sekali lagi meraih perhatian peminat selepas gambarnya sedang menjalani ibadah umrah bersama suaminya, Datuk Yusry Abdul Halim tular di media sosial, baru-baru ini.

Umum tahu, sejak penghijrahannya mula menjadi tumpuan dan inspirasi buat masyarakat, Lisa lebih memilih untuk bersederhana dengan segala perkongsiannya di media sosial.

Namun, berita keberangkatan pasangan itu telah dikongsikan oleh sebuah akaun Instagram agensi pelancongan, Irkaz Travel & Tour yang menjadi pengiring mereka untuk menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci, Sabtu lalu.

Selain itu, menerusi akaun TikTok yang dicipta oleh peminatnya @lisasurihani86_, beberapa kepingan foto telah dimuat naik oleh mereka sepanjang pasangan itu menziarahi kota Madinah.

Hasil tinjauan di ruangan komen, rata-rata peminat mereka tetap menzahirkan rasa kagum dengan sikap Yusry dan Lisa yang bersederhana.

Malah, mereka juga turut mendoakan agar segala urusan ibadah umrah pasangan itu dipermudahkan dan diberkati.

Fatin Nurain