Fad Terbabit Kemalangan Motosikal, Isteri Maklum Ada Hentakan Di Kepala – “Kena Monitor Under HDU”

Pelawak dan penyampai radio, Fad Bocey dilaporkan terlibat dengan kemalangan jalan raya membabitkan motosikal dalam satu kejadian yang berlaku pada malam Isnin.

Perkara tersebut dikongsikan isterinya, Syaheera Rahman menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya.

“Bad news, baru duduk minum air selesaikan barang-barang rumah, Fad telefon dia kemalangan…Dugaan apa ni,” tulisnya.

Isteri kepada penyampai radio Hot FM itu juga memberitahu perkembangan terkini Fad yang sedang dirawat di sebuah hospital.

Menurut Syaheera, suaminya itu kini berada dalam pemantauan pihak hospital kerana mengalami hentakan di kepala ketika kemalangan berlaku.

“Sorry, mana yang call tadi bateri tinggal 3 peratus, ni baru bernyawa phone.

“Update for now, Fad perlu monitor under HDU (High Dependency Unit) sebab ada hentakan dekat kepala to make sure semua bagus.

“Sebab masa dekat tempat kejadian dia muntah, tapi Alhamdulillah dia kuat. Thank you yang mendoakan, semoga kebaikan kalian dibalas Allah SWT,” jelasnya.

Sementara itu, rakan baik Fad iaitu pelawak Achey turut memuat naik satu perkongsian video yang memaparkan Fad sedang berbaring.

“Moga cepat baik sahabat,” tulis Achey di ruangan kapsyen.

Difahamkan Achey juga turut berada di tempat kejadian.

Perkongsian Achey turut menarik perhatian beberapa kenalan artis dan wargamaya apabila turut sama-sama mendoakan Fad supaya diberikan kesembuhan segera.

Khairil Khusyairi