Didakwa Anak Kepada CEO Syarikat Gergasi Sarawak, Amir Masdi Tampil Beri Penjelasan

Penyanyi Amir Masdi menafikan dakwaan dirinya anak kepada seorang kenamaan yang memiliki syarikat gergasi di Sarawak.

Memetik Utusan, Amir atau nama sebenar Amir Syazwan Masdi, 27, memberitahu bapanya hanya bekerja di syarikat tersebut dan bukan pemilik seperti yang didakwa orang ramai.

“Saya garu kepala pada awalnya, kelakar juga bila ada orang menyangka saya anak orang kaya.

“Mungkin salah saya juga kerana tulis ‘my dad’s company’ dalam kapsyen itu membuatkan ada pihak menyangka bapa saya adalah pemilik syarikat berkenaan.

“Sebenarnya bapa saya hanyalah bekerja di bawah syarikat tersebut, dia hanyalah kakitangan salah sebuah anak syarikat.

“Persembahan saya pada malam itu adalah untuk majlis makan malam syarikat berkenaan,” jelasnya.

Menurut pelantun lagu Sengaja ini, dia dibesarkan dalam keluarga sederhana malah bapanya juga bukan penaja untuk jelajah albumnya.

“Saya bukanlah anak orang kaya juga bukan anak orang kenamaan.

“Bapa saya bukan ketua pegawai eksekutif (CEO) mana-mana syarikat dan dia juga tidak menaja showcase jelajah album saya baru-baru ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Amir memuat naik hantaran berserta kapsyen ‘First time performing for my dad’s company’ di Instagram miliknya, baru-baru ini.

Maya Basir