Dikurniakan Gelaran Datuk, Amy Search Luah Rasa Syukur – “Saya Tetap Amy Search”

Penyanyi rock legenda, Amy Search telah dianugerahkan pingat Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 64 merupakan satu-satunya penggiat seni yang menerima anugerah tersebut bersempena dengan hari jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam yang ke-73.

Setelah empat dekad dalam industri, Amy menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas kurniaan pingat ini.

“Syukur dan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan negeri Melaka, Yang di-Pertua Negeri, Tun Ali Rustam dan semua pihak yang terlibat.

“Pemberian pingat yang membawa gelaran Datuk kepada saya ini tidak akan merubah Amy Search yang semua kenali selama ini. Saya tetap Amy Search, penyanyi dan pemain industri muzik yang dikenali,” kata Amy kepada Gempak.

Memetik laporan Gempak, Amy menjelaskan bahawa penganugerahan ini adalah tanggungjawab dan pengiktirafan untuk seluruh penggiat seni hiburan.

“Dengan dikurniai pingat ini, ia memberi saya lebih tanggungjawab demi menjadi teladan yang lebih baik dan pingat ini sebenarnya juga bukan untuk saya secara individu tetapi adalah mengiktiraf bahawa anak seni atau karyawan hiburan juga memainkan peranan penting dalam sosio ekonomi kita,” jelasnya kepada Gempak.

Untuk makluman, vokalis kumpulan Search itu menjadi antara 163 prang penerima Darjah Pangkuan Seri Melaka yang dianugerahkan gelaran Datuk.

Sumber: Gempak
Kredit foto: Hlive

Atiqah Johari