Dilamar Selepas Jadi Juara, Dinda Dania ‘Lari-Lari’ Nak Ke Mana?

Bermula dengan ‘busking’ ketika berusia 13 tahun dan menyandang gelaran juara program realiti nyanyian, penyanyi Dinda Dania tampil dengan single terbaharu berjudul ‘Lari-Lari’.

Lagu tersebut diciptakan oleh barisan komposer terkemuka negara iaitu Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves dan dibawah terbitan Rocketfuel Entertainment.

Menurut Dinda, pengorbanannya untuk menjadi penyanyi akhirnya menjadi kenyataan selepas dilamar pihak Rocketfuel untuk menjadi artis di bawah label mereka.

“Pengorbanan saya dalam bidang seni ternyata bukan sia-sia lagi apabila kini bergelar penyanyi sekaligus tampil dengan lagu sendiri, ibarat mimpi menjadi kenyataan, saya sangat terharu diberikan oleh pihak Rocketfuel terutamanya.

“Pihak Rocketfuel yang menentukan lagu pengenalan saya kerana mereka lebih arif apa yang sesuai dengan saya untuk ‘kick-off’ single pertama, selain mengambil kira trend lagu sekarang,” ujarnya.

Lagu Lari Lari ini mengisahkan tentang seorang wanita yang terkejar-kejarkan cinta seorang lelaki namun dibayangi perasaan cemburu kerana lelaki itu sering dikelilingi wanita-wanita lain lalu wanita tersebut memendam perasaan cinta yang tidak kesampaian.

Proses rakaman yang mengambil masa dua hari sahaja ini sesuai dengan halwa telinga pendengar zaman sekarang yang bernuansa EDM (Electronic Dance Music).

Selain itu, Ketua Rocketfuel Entertainment, Feros Sayna berkata, bakat Dinda tidak diragui lagi kerana telah memenangi beberapa pertandingan sebelum ini.

“Dinda adalah di antara penyanyi pelapis tanah air yang patut diberi perhatian, bakatnya dalam bidang nyanyian sememangnya terserlah dan tidak perlu diragui lagi kerana telah memenangi beberapa pertandingan nyanyian sebelum ini.

“Saya berharap lagu Lari-Lari nyanyian Dinda mendapat perhatian dan menyerlahkan lagi bakat semula jadi yang dimilikinya, semoga Dinda terus sukses dan maju dalam industri hiburan negara kita,” katanya.

Lagu Lari-Lari boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian pilihan utama seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Maya Basir