Diminta Hadir Ke IPD Dang Wangi Isu Hambur Kata-Kata Kesat Pada Pegawai Polis Kanan, Caprice Ramal Bakal Direman?

Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Caprice diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Khamis.

Menerusi hantarannya di Instastory, Caprice atau nama sebenar Ariz Ramli mengatakan dia dipanggil gara-gara memuat naik video reaksi terhadap insiden seorang remaja meninggal dunia akibat dilanggar pegawai polis kanan pada 15 Disember lalu.

Di dalam video tersebut, Caprice turut menggelar anggota polis itu dengan menggunakan kata-kata kesat.

“Seorang yang ada uniform biru yang patut jaga keselamatan kita akhirnya menjadi p****k dan bunuh budak sekolah,” ujarnya.

Namun, video tersebut telah dipadam oleh Caprice kerana dianggap melanggar garis panduan kandungan media sosial.

Terkini, Caprice memberitahu pekerjanya telah ditahan reman dan tidur di lokap.

Katanya lagi, pihak IPD Dang Wangi memindahkan sesi soal jawab pada hari Jumaat.

“Malam tadi staff Caprice seorang perempuan yang masih menyusu anak dia kena reman dan tidur di lokap.

“Mungkin saya akan kena sama? They moved me to esok 10:30 am at IPD Dang Wangi,” ujarnya yang kemudiannya memadam hantaran berkenaan.

Terdahulu mangsa Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, maut selepas didakwa dilanggar seorang pegawai kanan polis berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Ipoh.

Sebelum kejadian, konflik dikatakan berlaku antara mangsa dan suspek susulan tindakan remaja tersebut membuat bunyi bising menggunakan ekzos motosikalnya.

Hasil bedah siasat mendapati Allahyarham meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian dada dan abdomen.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang Luar, Ipoh.

Sementara itu, pegawai polis kanan tersebut, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, yang berpangkat Deputi Superintendan dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinien (IPK) Kedah dihadapkan ke Mahkamah Maistret Ipoh pada Isnin lalu atas tuduhan membunuh.

Namun, tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Mahkamah menetapkan 7 Februari 2024 bagi sebutan semula kes.

Maya Basir