Tiket Sold Out Dalam Masa 2 Jam, Siti Nurhaliza Mohon Maaf Pada Peminat – “Saya Faham Ada Yang Mencuba”

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersyukur selepas tiket konsertnya Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza yang bakal berlangsung pada 9 Mac 2024 di Axiata Arena, Bukit Jalil telahpun habis terjual dalam masa dua jam sahaja.

Perkara itu dikongsikan oleh Siti atau lebih mesra dengan panggilan TokTi menerusi muat naik di Instagram miliknya sebentar tadi.

“Alhamdulillah. Terima kasih dari lubuk hati terdalam,” katanya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Magis ini juga sempat memohon maaf kepada semua peminat yang tidak berpeluang untuk mendapatkan tiket konsertnya.

“Maafkan saya kepada yang tak dapat membelinya. Saya minta maaf sedalam-dalamnya juga. Saya memahami ada yang mencuba dan tidak sempat mendapatkannya.

“Ada rezeki di persembahan yang lain nanti. Doakan saya,” jelasnya.

Menjengah ke ruangan komen rata-rata peminat meluahkan pelbagai respons terhadap hantaran berkenaan.

Malah, terdapat segelintir dalam kalangan peminat yang berasa kecewa apabila hampir dua jam menunggu namun tiket telahpun ‘sold out’ sekaligus mencadangkan agar konsert dilanjutkan untuk hari yang kedua.

 

Sekadar info, Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza itu dianjurkan oleh Nurjiwa Foundation dan dipersembahkan oleh Cuckoo.

Salma Syahbuddin