Drake Cecah Rekod Taylor Swift!

Bintang rap, Drake mengungguli trofi Penyanyi Paling Top pada Billboard Music Awards (BBMA) 2019 di Grand Garden Arena di sini, hari ini.

Penyanyi berusia 33 tahun itu meleburkan impian empat pesaing terdekat iaitu Cardi B, Ariana Grande, Post Malone dan Travis Scott.

Lebih manis, Drake yang merangkul 12 trofi merekodkan 27 kemenangan sekali gus memecahkan rekod Taylor Swift yang meraih 23 anugerah.

Drake meluahkan penghargaan terhadap ibu yang sejak kecil memperkenalkannya kepada piano dan menjadi tunjang kejayaan.

“Saya cuma mahu mengucapkan terima kasih kepada ibu saya yang tidak pernah lelah memberi sokongan dalam hidup saya,” katanya ketika menerima trofi.

Drake yang dicalonkan dalam 17 kategori turut memberi dedikasi kepada karakter Arya Stark yang berjaya menarik perhatian dalam episod terbaru, Game of Thrones.

Kemenangan besar penyanyi, pelakon, komposer dan penerbit itu bagi kategori Top Billboard 200 Album pula adalah melalui album Scorpion.

Selain melayangkan penghormatan kepada pasukan penerbitan, penyanyi lagu God’s Plan itu sempat berseloroh mengatakan inspirasinya adalah Arya Stark.

Sementara itu, Cardi B yang menyusul rapat bersama 21 pencalonan hanya mampu berpuas hati membawa pulang enam trofi.

Antaranya Cardi mendominasi kategori Top Rap Song hasil kolaborasi dengan Bad Bunny & J Balvin untuk lagu I Like It. Selain itu, kategori Top Hot 100 Song bagi Girls Like You berganding dengan Maroon 5.

BBMA 2019 yang dihoskan Kelly Clarkson turut menyaksikan persembahan Taylor Swift yang berkongsi pentas dengan Brendon Urie selain Halsey dan BTS, selain Madonna, Maluma, Mariah Carey dan Khalid.

Sementara itu, kumpulan sensasi Korea Selatan, BTS menonjolkan prestasi cemerlang apabila mengetepikan Maroon 5 untuk merebut takhta sebagai Top Group/Duo.

Selain Maroon 5, kategori berkenaan turut membariskan empat lagi calon iaitu Imagine Dragons, Panic! At The Disco, dan Dan + Shay.

Artis paling berpengaruh Asia itu juga mempertahankan kemenangan bagi Top Social Artist buat tiga tahun berturut-turut sekali gus membuktikan keampuhan kuasa pengikut tegar mereka, Army – Agensi.

 

Oleh : Hanisah Selamat

Sumber : bharian

SGMS Enal