Dua Bulan Kendali Program Hiburan, Hawa Rizwana Ingin Jadi Diri Sendiri – “Saya Tak Mahu Dibayangi Sesiapa”

Pengacara jelita Hawa Rizwana berkongsi pengalaman mengendalikan program hiburan sejak dua bulan lalu.

Memetik laporan EH!, pemilik nama sebenar Hawa Rizwana Ahmad Rezuan berkata, dia berasa puas apabila dapat menghiburkan penonton.

“Penuh warna, colourful. Ia memberi ruang untuk saya tunjukkan sisi lain yang mungkin orang tak nampak bila saya membaca berita.

“Saya tonjolkan personaliti diri yang lebih relaks, mahu menghiburkan orang yang menonton. Bila kita berjaya membuat orang rasa terhibur, kita sendiri rasa gembira.

Disoal mengenai perancangan seterusnya, bekas penyampai berita TV3 ini ingin melebarkan karier seninya dengan berlakon.

“Saya ada beberapa goals yang mahu dicapai, tapi biar saya simpan sendiri kerana takut tak tercapai. Saya mahu cuba banyak benda, menerokai benda-benda yang sebelum ini berat hati hendak saya cuba.

“Apa yang boleh saya kongsi saya mungkin akan mula berlakon, memandangkan saya sendiri dah masuk dunia hiburan, mengapa tidak?,” kongsinya ringkas.

Menggantikan Neelofa dalam sebuah program hiburan, Hawa mengaku ia satu cabaran yang tidak boleh dielakkan. Malah mahu terus menjadi dirinya sendiri.

“Bagi saya itu satu cabaran tapi untuk deny apa yang orang kata saya tak boleh berbuat apa-apa kerana itu persepsi orang. Tapi saya harap pemilihan stesen TV untuk saya mengacarakan program hiburan adalah atas faktor lain.

“Harapnya mereka menilai berdasarkan tiga program yang saya dah buat sebelum ini. Untuk merubah penerimaan orang itulah cabarannya kerana berpandukan komen yang saya baca mereka suka membuat perbandingan.

“Saya hanya mahu menjadi diri sendiri sehingga satu hari nanti orang melihat saya tanpa dibayangi sesiapa, saya mahu orang lihat dan kenal saya sebagai Hawa Rizwana,” katanya.

Untuk info, Hawa pernah menghiasi dunia pengacaraan berita dan program bual bicara di TV3 sebelum beralih ke dunia hiburan.

Sumber: EH!

Khairil Khusyairi