“Duit Bukan Ukuran” – Ayda Jebat Lebih Suka Yang Mencabar

Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat sudah tidak sabar untuk memulakan penggambaran drama rantaian terbaharu terbitan JS Pictures berjudul ‘Bukan Gadis Biasa’ yang bakal ditayangkan di slot Samarinda, TV3, Ramadan tahun depan.

“Antara cabaran bagi saya menjayakan watak saya dalam drama ini ialah saya kena potong rambut pendek macam lelaki dan belajar kickboxing!” kata Ayda kepada Xtra semasa ditemui di majlis sidang media festival muzik Stereofest bertempat di Ibis Hotel, Kuala Lumpur. 

Walau bagaimanapun, Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Binti Jebat menafikan menerima bayaran tinggi untuk watak tersebut kerana terpaksa ‘mengorbankan’ rambut.

“Sekarang ni, duit bukan ukuran untuk saya terima sesuatu tawaran lakonan kerana sejujurnya bidang nyanyian memberi pendapatan yang lebih lumayan menerusi persembahan atau tawaran endorsement

“Oleh itu, saya akan menerima tawaran lakonan jika watak itu betul-betul mencuri perhatian dan mencabar kreativiti saya dalam berkarya dan bukan watak-watak yang stereotaip atau pernah saya lakonkan.

“Drama terbaharu lakonan saya ini juga akan dibintangi oleh Remy Ishak dan Sheila Rusly, ” jelas Ayda lagi. 

Penyanyi yang terkenal dengan lagu ‘Temberang’ ini juga tidak ketinggalan untuk berkongsi berita gembira yang dia bakal mengerjakan umrah selama 12 hari apabila penggambaran drama rantaian itu tamat Februari depan.  

“Sebenarnya dah dua tiga tahun juga saya pasang niat nak mengerjakan umrah dengan keluarga, alhamdullillah kini semuanya dipermudahkan,” ujar Ayda.

Ayda yang akan berkongsi pentas dengan lebih kurang  20 artis-artis popular dari Malaysia, Indonesia dan Singapura seperti Judika, 4u2C dan New Boyz bakal membuat persembahan menerusi slot selama 45 minit di festival muzik Stereofest yang bakal diadakan di Kota Singa pada 22 Februari 2020.

Oleh Fas.

Del14