DUKUN BOCOR ANGKARA SIAPA?

Filem Dukun lakonan Datin Paduka Umie Aida, Namron, Soffi Jikan, Elyana, Faizal Hussein serta beberapa pelakon handalan dilaporkan ‘bocor’ selepas ada individu tidak bertanggungjawab memuat naik di internet!

Filem yang menjalani penggambaran pada tahun 2006 itu dilaporkan sudah dapat ditonton di laman Facebook. Difahamkan hampir keseluruhan filem itu sudah bocor. Aduhai…kerja siapa lah ni?

Memetik laporan Harian Metro, PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional (Finas) memandang serius isu kebocoran filem yang sepatutnya ditayangkan pada tahun 2007.

“ FINAS turut mengambil inisiatif bersama beberapa badan bertindak bagi menangani masalah seumpama ini.

“Sebelum ini, FINAS sudah mengambil inisiatif penting bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dengan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Membanteras Cetak Rompak Digital sebagai sinergi bersama menangani isu filem di pawagam yang dimuat naik ke laman sesawang oleh individu tidak bertanggungjawab dan beretika,” kata Ketua Pengarah FINAS, Datuk Fauzi Ayob.

Fauzi juga berharap semua pihak dapat memberi kerjasama dalam membanteras jenayah siber ini.

Filem yang menimbulkan kontroversi suatu masa dulu ini diadaptasi daripada kes pembunuhan berprofil tinggi yang membabitkan ahli politik Datuk Mazlan Idris dan Mona Fandey yang didakwa pengamal ilmu hitam.

Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF) mengambil keputusan mengharamkan filem ini memandangkan jalan ceritanya yang berkemungkinan menyinggung perasaan keluarga pihak berkenaan.

SGMS Faida