“Dulu Ramai Anggap Aplikasi Ini Kebudak-Budakan” – Aeril Zafrel Digelar Presiden TikTok?

Pelakon dan usahawan, Aeril Zafrel mengakui ramai pengikut yang memberikan gelaran ‘Presiden TikTok’ kepadanya.

Memiliki lebih dua juta pengikut di aplikasi terbabit, Aeril mengakui TikTok dipandang sebelah mata ketika ia mula popular di Malaysia.

“Saya tak pernah cakap saya Presiden TikTok, gelaran itu diberikan oleh ramai pengikut memandangkan saya aktif di platform terbabit.

“Sewaktu pandemik melanda dan semua berada di rumah gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan, saya mula rancak di platform terbabit.

“Saya akui dahulu ramai yang memandang aplikasi ini sebelah mata dan menyifatkan ia bersifat kebudak-budakan kerana kandungan yang dipaparkan.

“Saya malas nak ambil peduli sebab saya sendiri pun bosan di rumah, jadi saya sering memuat naik kandungan untuk menghiburkan peminat.

“Ada juga peminat mendedahkan mereka sanggup memuat turun aplikasi itu semata-mata mahu menonton kandungan yang saya hasilkan.

“Mungkin orang skeptikal dan anggap platform TikTok hanya untuk menari sahaja, tetapi ia banyak juga manfaat lain, seperti menyebarkan informasi, mempromosikan perniagaan dan menjana pendapatan. Lama kelamaan, orang boleh terima dengan platform ini,” katanya.

Aeril ditemui bersama isterinya, pelakon Wawa Zainal pada majlis pelancaran wangian Asmaradana keluaran Wawa Cosmetics x Rozyana, baru-baru ini.

Bekerjasama dengan pempengaruh TikTok popular, Rozyana Roslan yang mempunyai hampir lima juta pengikut, Aeril dan Wawa tak menafikan aplikasi terbabit memberi kesan positif kepada mereka.

“Aplikasi TikTok memberi kesan positif, lebih-lebih lagi kepada jenama dan perniagaan kami. Kerjasama dengan Rozyana memang sangat dinantikan kerana dia mempunyai ‘jenama’ yang kuat.

“Ini adalah kerjasama kedua kami bersama pempengaruh TikTok. Sebelum ini, kami pernah berkolaborasi bersama Nelysa Norazlan.

“Alhamdulillah, produk wangian itu sudah terjual 22,000 unit sebelum pelancaran rasmi dibuat dan ia memberikan impak yang sangat baik,” katanya lagi.

Padin