Nuha Bahrin, Naufal Azrin Tak Bercinta… Belum Fikir Pasal Kahwin

Pasangan duet yang popular menerusi lagu Casablanca, Nuha Bahrin dan Naufal Azrin menafikan mereka menjalin hubungan cinta.

Selesa berteman rapat, Nuha atau nama sebenarnya, Nuha Sakina Saiful Bahrin, 22, menyifatkan hubungan yang wujud dengan Naufal seperti adik dan abang.

“Tak ada hubungan istimewa pun. Saya anggap dia sebagai abang sahaja. Memang kami rapat tapi hanya sekadar rakan industri.

“Kami selesa berkawan dan kalau boleh buat masa ini, kami mahu tumpukan pada kerjaya. Masing-masing masih muda, jadi belum terfikir lagi pasal mahu berpasangan atau kahwin,” kata Nuha.

Nuha ditemui pada Sidang Media Pelantikan Nuha Bahrin dan Naufal Azrin selaku duta Ekspo Perkahwinan Ijab & Qabul 2022, baru-baru ini.

Tambah Naufal atau nama sebenarnya, Ahmad Naufal Azrin, 23, dia lebih selesa menumpukan fokus terhadap kerjaya biarpun ada rakan-rakan sebayanya sudah mendirikan rumah tangga.

“Saya sendiri mahu memberikan fokus kepada kerjaya. Bagi mereka yang sudah mempunyai kekasih dan bersedia, digalakkan berkahwin untuk elakkan maksiat. Perkahwinan bukan senang, perlulah bersedia terlebih dahulu daripada segi mental, fizikal dan kewangan.

“Ada sahaja rakan-rakan sebaya saya dah kahwin, tetapi mereka sudah bersedia dalam banyak perkara,” katanya.

Mengulas mengenai pembabitan dalam Ekspo Perkahwinan Ijab & Qabul 2022, Nuha dan Naufal mengakui lagu Casablanca membawa tuah untuk mereka.

“Sebenarnya, kami dipilih kerana lagi Casblanca memberi impak besar. Selain mendapat perhatian, lagu ini juga menjadi pemilihan mereka yang terlibat dalam industri perkahwinan.

“Pada acara yang akan berlangsung pada 23 sehingga 25 September ini, pelbagai aktiviti disediakan untuk bakal pengantin dan kami juga akan membuat penampilan istimewa,” kata Nuha.

Padin