Elly Mazlein Berdebar Tunggu Sabtu!

Meskipun ini perkahwinannya yang kedua, pelakon, penyanyi dan pengacara, Elly Mazlein mengakui dia masih rasa berdebar menantikan detik bersejarah itu. 

Sebelum pernikahan yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini, 17 Januari, Elly terlebih dahulu akan memperkenalkan tunangnya, Mohamad Azlan kepada rakan-rakan media pada hari ini disusuli dengan majlis malam berinai bertemakan Cik Siti Wan Kembang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada sebelah malam.

“Perasaan saya bercampur baur, tapi lebih kepada teruja.  Alhamdulillah, persiapan untuk majlis malam berinai esok dan akad nikah Sabtu ini sudah hampir siap sepenuhnya dan saya berharap supaya dua majlis yang akan berlangsung selama dua hari itu akan berjalan lancar,” katanya kepada Harian Metro. 

Dikatakan majlis malam berinai akad nikah dan resepsi akan diadakan secara tertutup dengan kehadiran 750 tetamu jemputan yang terdiri daripada keluarga, kenalan, rakan artis serta media dan majlis-majlis berkenaan bakal menyaksikan persembahan beberapa artis popular tanah air. 

Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina binti Syed Hanafi mengikat tali pertunangannya dengan Azlan pada 17 Disember lalu, juga di PWTC. 

Sebelum ini, majlis merisik diadakan secara tertutup pada 19 Oktober lalu setelah mengenali Azlan sejak Ogos 2018.

Walau bagaimanapun, penyanyi yang terkenal dengan gelaran Kak Lina Pom Pom ini belum pernah berkongsi foto wajah tunangannya itu secara terbuka dan mengakui bakal suaminya merasa agak segan untuk diperkenalkan kepada umum hari ini. 

Sekadar info, pelantun lagu Bungaku Bakawali ini pernah berkahwin dengan pengarah, Azmi Hatta pada 9 November 2014 dan berpisah pada 15 Oktober 2015. Mereka dikurniakan cahaya mata, Putri Sara Sefhia Azmi yang dapat menerima baik kehadiran Azlan di dalam hidup ibunya. 

Kami dari team XTRA ingin mengucapkan tahniah kepada Elly dan Azlan dan semoga majlis perkahwinan mereka berjalan lancar dan kekal hingga ke Jannah!

Kredit Foto: Instagram @iamellymazlein

Del14