“Era Itu Sudah Berlalu…” – Ayda Jebat Tak Mahu Babak Bersentuhan

Pelakon Ayda Jebat memberitahu dirinya sudah tidak mahu lagi bersentuhan dengan pelakon lelaki dan melakonkan aksi mesra.

Memetik laporan Harian Metro, Ayda berpendapat tidak ada keperluan aksi sedemikian dilakukan terutama setelah dirinya kini bergelar seorang isteri dan ibu.

“Memanglah saya seorang pelakon, tapi tanggungjawab sebagai isteri dan ibu itu perlahan-lahan sudah dipegang. Saya sudah tidak perlu cerita cinta yang kena bertepuk tampar atau berpegangan tangan dengan lelaki.

“Sekarang ini saya bukan bawa nama Ayda Jebat saja tapi saya juga bawa nama suami dan nama keluarga. Jadi, malulah. Mungkin dulu saya pun tak bagus, tapi selepas ini saya sudah tak nak,” katanya.

Menurut Ayda atau nama sebenar Nur Suhada Jebat, babak yang terlalu mesra atau keterlaluan tidak sepatutnya ada dalam filem atau drama untuk bagi impak tertentu.

“Era itu sudah berlalu dan saya kena didik peminat dan penonton di mana kita tidak perlukan filem sebegitu. Banyak saja filem atau drama seperti dari Korea Selatan yang tak perlu babak bersentuhan tapi masih buat kita senyum dan berbunga-bunga,” katanya.

Tambahnya, babak keterlaluan itu juga satu penderaan mental buat peminat.

“Bila mereka (peminat) menontonnya, mereka tak rasa apa-apa? Tak rasa bersalah bila tengok idola atau artis kesayangan mereka buat aksi sebegitu?” ujarnya.

Pada masa sama, isteri kepada pengacara Nabil Mahir ini turut berpendapat tidak perlu pura-pura bercinta untuk buat sesuatu perkara tular.

Namun, gimik itu boleh tetapi tidak perlu berlebihan.

Sumber: Harian Metro

Maya Basir