Erra Fazira Jawab Soalan ‘Sampai Bila Nak Berlakon?’

Pelakon Erra Fazira tidak meletakkan had usia dalam karier seninya.

Kata pelakon jelita berusia 45 tahun ini, dia meletakkan soal rezeki kepada Allah SWT dalam merencana masa depannya.

“Kalau ditanya sampai bila saya mahu berlakon, saya sendiri tidak boleh nak kata. Saya ikut sahaja apa yang ditulis olehNya.

“Kalau saya orang kaya, boleh lah untuk letak sasaran bila saya perlu berhenti bekerja. Saya perlu mencari pendapatan sendiri dan jatuh bangun dalam hidup juga sendiri. Tanggungjawab saya kepada keluarga dan anak juga perlu difikirkan,” katanya kepada Xtra.

Akui Erra ketika ditemui di tayangan perdana filem Wangi di MM Cineplex, eCurve, Petaling Jaya, dia berdoa agar urusan dalam mencari rezeki sentiasa dipermudahkanNya.

“Salah satu doa saya di Tanah Suci baru-baru ini adalah urusan saya terus dipermudahkan dan saya terus istiqamah dalam hidup. Insha Allah,” akhirinya tenang.

Dalam perkembangan lain, filem lakonan Erra bersama Sharnaaz Ahmad berjudul Wangi bakal ditayang bermula 5 September depan. 

SGMS Faida