Fahrin Ahmad Saran Setiap Pelakon & Tenaga Produksi Ambil Insurans – “Sudah Tiba Masanya Untuk Industri Kita Lebih…”

Pelakon dan pengacara, Fahrin Ahmad menyarankan pihak tertentu mengutamakan dan memberi perhatian soal keselamatan pihak produksi tempatan ketika di set penggambaran.

Menurut Fahrin, adalah satu keperluan bagi setiap pekerja dan produksi memiliki insurans perlindungan keselamatan.

“Bila bercakap fasal kecederaan atau kemalangan, saya setuju apa-apa pekerjaan, kalau benda itu nak jadi, ia terjadi juga tapi saya kira apa situasi yang berlaku sekarang ini saya nak orang luar faham inilah hakikatnya pekerjaan anak seni.

“Sudah tiba masanya untuk industri kita lebih mempunyai prosedur keselamatan yang tersendiri. Sebab kita berurusan dengan babak lakon yang berbeza apatah lagi yang melakonkan babak-babak aksi.

“Ia perlu lebih diberi perhatian, kalau ada pihak nak bantu pastikan setiap pekerjaan ataupun projek itu mestilah diinsuranskan, termasuklah kepada kru-kru produksi. Saya rasa itu perlu menjadi satu keperluan,” katanya kepada XTRA.

Tambah pelakon drama Khilaf Asmara ini, dia akan lebih mengutamakan keselamatan berbanding lakonan yang beriya-iya dalam melakonkan sesebuah babak.

“Pendapat saya, untuk lakonan yang beriya-iya atau yang ‘real’, saya sendiri akan ambil inisiatif saya sendiri untuk pastikan semuanya selamat.

“Saya tahu adakah saya selamat untuk buat ‘lebih’ atau selamat untuk tidak melakukan babak tersebut.

“Mungkin ada orang berbeza pendapat dengan saya, daripada lakonan saya yang menjadi ataupun beriya-iya berbanding keselamatan, saya akan dahulukan keselamatan saya dan sekadar babak itu jadi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fahrin yang juga pengacara program bual bicara popular TV3, Wanita Hari Ini, tidak menafikan anak seni mencari rezeki dengan fizikal dan rupa paras yang ada.

“Alhamdulillah, sehingga hari ini yang serius tak ada lah. Setakat sikit-sikit, calar itu biasa sahaja.

“Bila cakap pasal pelakon, kami ini mencari rezeki dengan fizikal, kesihatan dan tak nafikan dengan rupa yang kami ada.

“Jadi perkara ini tidak boleh dikompromi, memang kita tahu semua orang dah kata kita dah buat tinjauan lokasi, buat latihan tapi ia mungkin boleh di tambah baik,” tutupnya.

Terdahulu, beberapa pelakon juga pernah terbabit dengan kemalangan ketika menjalani penggambaran sehingga mencetuskan pertikaian pelbagai pihak.

Khairil Khusyairi