“Ya, Rojak akan menjadi album terakhir saya,” dedah penyanyi dan komposer, Faizal Tahir.

Faizal mengakui ia bukan gimik sebaliknya akan menjelaskan niat itu pada sidang media pelancaran album itu nanti.

“Pada masa ini, saya masih sibuk menyiapkan album itu. Kini sudah siap 90 peratus dan dijangka siap sebelum pelancaran,” katanya.

Sebelum ini, penyanyi Asalamualaikum itu mendedahkan hasrat itu menerusi video yang dimuat naik ke laman sosialnya.

Dalam rakaman video itu, dia berkata kita semua di Malaysia adalah Rojak disebabkan orang, budaya, bahasa, dan ia sangat indah.

Dan disebabkan itu, dia menamakan album itu sebagai Rojak.

“Satu hal mengenai album ini, ia adalah album saya yang terakhir,” katanya.

 

Selepas menyertai kumpulan nasyid Mirwana, Faizal beralih kepada kerjaya solo dan menyertai Malaysian Idol musim kedua.

Dia kemudian memulakan kerjaya muzik solo pada 2004 dan menghasilkan empat album penuh iaitu Aku.Muzik.Kamu pada 2007, Adrenalin (2010), Faizal Tahir (2013), dan Anatomi (2016).

Oleh: Endy Ashari

SGMS Faida