Fatin Husna Sah Bergelar Isteri, Tahniah!

Penyanyi Fatin Husna selamat bergelar isteri kepada jejaka pilihannya, Luqmanul Haqim di Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

Fatin yang popular dengan lagu Rahsia Kita duet bersama Khai Bahar, menerima mas kahwin sebanyak RM200 pada majlis pernikahan yang diadakan secara sederhana di surau Taman PJ Perdana, Seremban, berhampiran kediaman keluarganya.

 “Alhamdulillah saya sudah sah bergelar isteri kepada Luqmanul. Masih terkejut dan rasa tidak percaya kerana perancangan untuk bernikah ini dibuat secepat ini.

“Apa pun saya gembira dan bersyukur semuanya berjalan lancar walaupun majlis diadakan dalam suasana yang sederhana dan ringkas,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Fatin berkata, disebabkan masih terikat dengan kontrak syarikat rakaman, dia terpaksa mengadakan majlis persandingan pada April tahun depan.

“Insya-Allah jika tidak ada halangan majlis persandingan akan diadakan pada April depan.

“Ada beberapa perkara lagi yang harus saya selesaikan selain perlu menyiapkan sebuah lagu lagi bersama syarikat rakaman sebelum kontrak tamat,” katanya.

Terdahulu, pasangan yang saling mengenali sejak empat tahun lalu mengikat tali pertunangan pada 12 Oktober lalu.

Luqmanul yang menguruskan perniagaan keluarga sebelum ini sering menemani Fatin ke majlis acara atau persembahan yang membabitkan penyanyi itu.

SGMS Faida