Muncul Juara GV6, Naqiu Simpan Hajat!

“Saya ‘blur’ tapi bersyukur atas kemenangan ini,” komen penyanyi Naqiu yang bergelar juara program realiti Gegar Vaganza 6, malam tadi.

Penyanyi berusia 33 tahun itu memberitahu dia terkejut melihat wajahnya dengan peserta Hady Mirza terpampang di skrin dengan gelaran juara.

“Bayangkan terkejut sampai terlupa nak ambil trofi. Pihak produksi suruh kami ke tengah baru saya dan Hady teringat untuk ambil trofi.

“Ini rezeki untuk keluarga dan saya tiada masalah untuk berkongsi gelaran juara dengan Hady. Rezeki untuk keluarga kami berdua,” katanya syukur.

Sementara itu, Naqiu yang membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 merancang untuk menderma sebahagian dari wang berkenaan ke rumah anak-anak yatim.

“Sejak dari konsert suku akhir GV6 lagi, saya beritahu isteri niat sekiranya bergelar juara saya mahu dermakan wang kepada anak-anak yatim.

“Saya tidak mahu fikir mengenai duit tetapi apa yang lebih penting saya mahukan platform sebagai laluan untuk ke peringkat seterusnya,” katanya.

Tambah Naqiu, dia merancang untuk mengeluarkan single terbaharu tidak lama lagi.

“Insha Allah dalam masa tiga atau empat bulan, saya mahu lancarkan lagu baharu. Sebuah lagu single manakala satu lagi bersama band, Six Years yang dianggotai oleh ahli kumpulan Boboy,” ujarnya.

Mempersembahkan dua tugasan merangkumi nyanyian solo dan ‘battle’, Naqiu dan Hady menewaskan empat peserta lain, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, pakej percutian, ubah suai rumah dan ruang tamu berserta trofi.

Mendendangkan dua lagu, Naqiu dengan persembahan solo Srikandi Cintaku, kemudian berganding dengan Hady untuk lagu Ha Tepok, persembahan mereka berdua ternyata memukau hati juri dan para penonton.

Penyanyi asal Singapura, Hady dalam persembahan solonya mempertaruhkan lagu Ku Bersuara dengan gaya tersendiri.

Oleh: Fas

SGMS Faida