Filem Jerangkung Dalam Almari Tumpang Populariti Adi Putra?

Penerbit filem Jerangkung Dalam Almari, Raja Azmi mengakui meletakkan harapan yang tinggi terhadap naskhah arahannya kali ini.

Walaupun bergenre seram, Raja Azmi mahu aura yang ada pada pelakon hebat, Datuk Adi Putra dapat memberi tuah pada filem arahannya itu yang akan mula ditayangkan bermula 4 Ogos 2022.

“Saya berdoa agar filem seram ini mendapat ‘serpihan’ tuah daripada aura filem Mat Kilau itu,” katanya.

Berkongsi mengenai sasaran kutipan yang diletakkan pada filem arahannya, Raja Azmi bagaimanapun tidak berharap jumlah kutipan untuk filem Jerangkung Dalam Almari setaraf dengan kutipan filem Mat Kilau.

 

Malah, penerbit filem itu juga enggan berkongsi nilai sebenar sasaran kutipan yang diletakkan pada filemnya kali ini.

“Saya takut nak sebut angka kutipan yang saya sasarkan sebab… tak mahu menjanjikan apa-apa. Kalau tidak puluhan juta, dapat juta-juta pun cukuplah,” jelasnya.

Raja Azmi ditemui pada majlis Tayangan Perdana dan Sidang Akhbar Filem Jerangkung Dalam Almari di GSC Tropicana Gardens, Petaling Jaya pada Rabu.

Menurut Raja Azmi, dia tidak menggunakan kuasa veto dalam pemilihan pelakon kali ini kerana keputusan itu telah diberikan kepada pengarah.

“Sebelum ini saya menggunakan kuasa veto saya sebagai penerbit untuk membuat pemilihan pelakon contohnya orang dari dunia sukan dan sebagainya.

“Selepas belajar dari kesilapan, saya kini memberi kuasa kepada pengarah untuk memilih siapa pelakon yang sesuai dan ambil pelakon sebenar,” katanya.

Untuk makluman, filem Jerangkung Dalam Almari ini telah selesai menjalani penggambarannya sejak 2019 lagi namun, terdapat beberapa masalah teknikal termasuklah kekurangan bajet sehingga menyebabkan filem ini terpaksa ditunda tayangannya.

 

Salma Syahbuddin