Fizo Omar Selamat Bernikah Setelah Dua Tahun Menduda

Pelakon, Fizo Omar, 36, melangsungkan pernikahan dengan bekas pramugari, Fazeera Nazri Azrai, 25, yang diadakan secara tertutup di Bidaisari Resort, Janda Baik, Pahang, pagi semalam.

Berita mengenai perkahwinan pelakon tersebut disahkan sendiri oleh pengurus Fizo, Mimi.

“Majlis hanya dihadiri keluarga terdekat saja. Mereka hanya ingin meneruskan apa yang wajib memandangkan Fizo juga sudah lebih dua tahun menduda,” katanya.

Menurut Mimi, Fizo dan Fazeera sudah lama berkenalan dan membuat keputusan untuk berkahwin tahun ini.

Selain itu, Fazeera juga dilihat memuat naik dua keping gambar sambil mengenakan baju pengantin berwarna putih selain menggunakan gambar Fizo lengkap berbaju Melayu putih bersama anak perempuannya, Wan Maryam sebagai gambar profil akaun Instagram itu.

 

Memetik laporan Harian Metro, Mimi sempat memohon kepada sesiapa yang menyebarkan akaun media sosial palsu Fazeera supaya berhenti berbuat demikian bagi mengelakkan kekeliruan.

“Benar. Akaun Tik Tok yang tular adalah milik Fazeera, tetapi dia memilih untuk menyah aktifkan akaun berkenaan atas sebab peribadi. Mungkin juga terkejut dengan perhatian daripada banyak pihak,” jelasnya.

Terdahulu, Fizo Omar atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar pernah berkahwin dengan usahawan, Mawar Karim pada November 2013 namun bercerai pada 10 Julai 2019 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang anak perempuan bernama, Wan Maryam yang kini berusia empat tahun.
Salma Syahbuddin