Gayakan Pakaian Nampak Paha Di KLFW, Elvina Mohon Maaf

Pelakon Datin Elvina Mohamad memohon maaf jika penampilannya ketika menghadiri Kuala Lumpur Fashion Week 2022 (KLFW2022) mengundang rasa tidak selesa dalam kalangan pengikutnya di media sosial.

Memetik laporan Kosmo, Elvina atau nama sebenar Norzalina Mohamad, 27, yang menggayakan busana serba putih yang hampir mendedahkan pangkal pahanya itu adalah sebagai tanda sokongan kepada seorang pereka tempatan yang menyertai acara tersebut.

“Saya berpakaian begitu hanyalah untuk KLFW2022 baru-baru ini. Tidaklah memakainya untuk urusan harian lain.

“Saya ke sana untuk memberi sokongan kepada salah seorang pereka fesyen.

“Mungkin orang anggap saya ini seorang yang lembut, jadi mereka agak terkejut melihat saya berpakaian sebegitu,” katanya.

Namun, ibu anak satu ini menyedari penampilannya itu menimbulkan rasa kurang senang dan memohon maaf kepada peminatnya.

“Mungkin salah saya juga, tidak semua pengikut media sosial boleh menerima gaya seperti itu.

“Saya minta maaf sekiranya pemakaian tersebut buat anda rasa tidak selesa namun, baju itu hanya untuk acara tersebut,” jelasnya.

Terdahulu, Elvina yang menggayakan pakaian agak mencolok mata itu mendapat kritikan orang ramai.

Sumber: Kosmo

Maya Basir