Gigit Tangan Individu Tekup Mulut, Kanak-Kanak Dakwa Didekati Lelaki Tak Dikenali Ketika Pulang Sekolah

Seorang kanak-kanak lelaki didakwa menggigit tangan seorang individu lelaki yang cuba menutup mulutnya ketika dia pulang dari sekolah di Rawang, petang kelmarin.

Memetik laporan BH Online, kanak-kanak tersebut merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Taman (SK) Tun Teja, Rawang dan melaporkan bahawa dia didekati lelaki tersebut ketika keluar dari sekolah.

Kanak-kanak lelaki itu dikatakan hendak membeli aiskrim berhampiran sekolahnya namun secara tiba-tiba tangannya dipegang oleh seorang lelaki yang tidak dikenali kira-kira pukul 5.50 petang.

Susulan itu, ibunya tampil membuat laporan polis sehari selepas insiden tersebut dengan melaporkan bahawa individu tersebut cuba menutup mulut anaknya, namun anaknya itu bertindak menggigit tangan lelaki terbabit.

Menerusi laporan itu juga, lelaki tersebut kemudiannya dikatakan melarikan diri menaiki sebuah van berwarna putih.

Namun, ketika insiden itu berlaku difahamkan tiada seorang pun saksi yang berada di kawasan berdekatan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed telah mengesahkan bahawa pihak beliau menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan siasatan masih dijalankan.

Ujarnya lagi, satu kenyataan media akan dikeluarkan dalam masa terdekat hari ini berkaitan siasatan terperinci kes tersebut.

Walaubagaiamanapun, beliau meminta mana-mana pihak untuk tidak membuat sebarang tanggapan berhubung kejadian ini sehingga siasatan polis selesai dilakukan.

Sumber: BH Online

Atiqah Johari