Categories: HiburanTrending

Gmie Screen Meninggal Dunia

Vokalis kumpulan Screen, Gmie atau nama sebenarnya, Hajmi Ibrahim, 51, meninggal dunia kira-kira jam 2.30 pagi tadi.

Berita ini disampaikan oleh kumpulan rock 90-an, Lestari menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi mereka.

“Salam Jumaat. Belasungkawa, dimaklumkan sahabat kami Hajmi Bin Ibrahim aka Gmie Screen telah kembali ke Rahmatullah sebentar tadi jam 2:30 pagi, 10 Disember 2021, 6 Jamadilawal 1443H di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Selangor.

“Jenazah akan dikebumikan pagi ini di Kampung Medan Sijangkang. Semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman,” tulis pengendali akaun terbabit.

Menerusi pencarian di laman Facebook, jiran kepada Gmie, Ya Jamilah turut menyampaikan berita sedih itu dan dia turut berkongsi tangkap layar status anak Gmie yang bernama Siti Hadirah.

“Innalillahi wa inna ilaihi roji’un… Perginya di hari yang mulia… Jiran yang sangat baik, peramah, pemurah dan sangat disenangi semua. Setiap kali raya, rumahnya antara destinasi wajib kami beraya melainkan musim pandemik ini. Moga arwah ditempatkan di syurga bersama para solihin. Amin Ya Rabb,” tulisnya.

Pada April lalu, Harian Metro melaporkan Gmie menghidap penyakit buah pinggang bocor semenjak penghujung tahun 2020.

Antara lagu dendangan vokalis kumpulan Screen yang popular dan meniti bibir peminat ialah Bila Cinta Didusta, Tak Suka Tak Apa, Kau Kesayanganku, Bila Kau Kata Sayang dan banyak lagi.

Padin