Hadiah Buat Peminat, Fazura Teruja Bakal Kembali Berlakon Drama Bersiri Konsep Islamik!

Pelakon, penyanyi dan usahawan terkenal, Nur Fazura memaklumkan akan kembali membintangi sebuah drama bersiri berkonsepkan Islamik selepas sambutan Hari Raya tahun ini.

Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 38, mengakui beliau tidak mahu lagi memegang watak wanita yang merebut lelaki serta mempunyai jalan cerita seakan cinta tiga segi.

“Sejujurnya, kami telah mendapat banyak tawaran berlakon tetapi saya tak nak lagi membawa watak yang berkonsepkan cinta tiga segi atau ada adegan merebut lelaki.

“Kita sebagai wanita tak buat perkara sedemikian, we don’t pry for man. Saya tak suka untuk membuat sesuatu perkara yang tiada manfaat.

“Namun saya sedar dan tahu ramai penonton kita yang suka jalan cerita macam tu sebab ia sangat ringan.

“Tapi pada pendapat saya pula, saya sudah sering memegang watak sedemikan.

“Jadi saya tak mahu untuk membawa watak yang sama.

“Insya-Allah, pada tahun ini akan ada satu tawaran yang sangat menambat hati saya iaitu sebuah drama yang membawa konsep Islamik, sangat memartabatkan figura wanita yang saya rasa macam ini yang saya mahu lakukan.

“Jika ada rezeki dan dipermudahkan, dan kalau saya terima, Insya-Allah mungkin lepas raya saya akan berlakon semula.

“Saya berasa sangat teruja dan itu adalah hadiah kepada peminat-peminat yang merindukan saya berlakon,” ujarnya.

Fazura ditemui di majlis pelancaran, ‘Baraqah Jumaat bersama Fazura dan Bonda Muhaya’ di Petaling Jaya pada Jumaat.

Mengulas lanjut mengenai kolaborasi berkenaan, Fazura mengakui sangat teruja apabila diberi peluang untuk bekerjasama dengan insan yang beliau sangat kasihi, Datuk Prof. Dr. Muhaya Mohamad.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat illahi kerana termakbulnya hasrat saya untuk berkolaborasi bersama insan yang saya kasihi, iaitu Bonda Muhaya untuk koleksi telekung bersama jenama beliau, Muhayya Magical.

“Koleksi Fazura x Muhayya ini menampilkan dua koleksi, Rindu Ramadan dan Sayang Syawal yang terdiri dari pelbagai warna-warna yang menarik sempena bulan Ramadan dan musim perayaan yang bakal menjelang tidak lama lagi,” katanya.

Kredit foto: Harian Metro

Aqilah Paharuzi