Hafreez Adam Akhirnya Jawab Spekulasi, Putus Tunang Bulan Lalu…

Pelakon, Hafreez Adam (29) yang mengenali Zara Zya sejak bergandingan bersama dalam drama rantaian, Monalisa pada 2017 dan mengikat tali pertunangan 12 Oktober lalu, akhirnya mengakui hubungan mereka retak dan tidak dapat diselamatkan lagi. 

Memetik laporan BH Online, kedua pasangan pelakon ini sepatutnya mendirikan rumahtangga Oktober tahun depan tetapi malangnya ikatan pertunangan mereka terlerai bulan lepas. 

Walaupun menerima suratan takdir, Hafreez menjelaskan mereka berpisah secara baik dan mereka bersepakat untuk meleraikan segala spekulasi berkaitan hubungan mereka apabila Hafreez didakwa telah memilih untuk tidak mengikuti Zara di Instagram dan memadamkan gambar mereka berdua.  

“Jumaat lalu, kami berbincang menerusi aplikasi WhatsApp dan sepakat untuk meleraikan persoalan mengenai hubungan kami, hari ini.
“Masing-masing tidak mahu berterusan mengundang apa sahaja rasa yang kurang enak, sejak kebelakangan ini.  Kami putus pun dengan cara yang baik.  Saya dan Zara tidak bergaduh.
“Cukup saya katakan, tiada lagi persefahaman dalam hubungan yang sekian lama terjalin ini.  Tiada jodoh antara kami,” kata Hafreez kepada BH Online.

Hafreez yang pernah memenangi Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-29 itu turut menjelaskan, buat masa ini dia lebih selesa memberikan ruang untuk diri masing-masing  dan mengelak daripada bertembung atau digandingkan dalam mana-mana drama. 

“Buat seketika dan waktu terdekat ini, saya cuba mengelak untuk bertemunya.  Saya juga tidak mahu detik sebegitu membuatkan kami berdepan sebarang tekanan daripada pihak luar.

“Saya percaya, masing-masing memerlukan ruang untuk melawan apa sahaja perasaan yang bertamu.  Kita tak tahu, selepas berita ini didedahkan, kecaman dan tekanan mungkin bertandang tanpa diduga,” kata pelakon drama Raisha 2 itu. 

Apa-apa pun, Hafreez hanya mendoakan yang terbaik buat bekas tunangnya walaupun tidak lagi menjadi orang yang paling rapat dengan Zara selepas ini. 

“Siapa sahaja jodohnya selepas ini, saya akan mendoakan yang terbaik dari kejauhan.  Saya turut mengharapkan pengertian peminat kami, untuk sama-sama mendoakan yang baik-baik. 

“Kalau boleh, usahlah bertelagah atau membuat apa-apa pertikaian selepas kami tidak lagi bersama.  Teruslah menyokong diri dan kerjaya seni kami,” kata Hafreez lagi. 

Terdahulu, Zara atau nama penuhnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin (34) pernah menjelaskan hubungan mereka yang semakin dingin selepas bertunang bukanlah disebabkan kehadiran orang ketiga. 

“Sama seperti pasangan lain, kami juga berdepan dugaan ketika menempuh alam pertunangan,” ujar Zara. 

Kredit Foto: Instagram @zarazya

 

Del14